Terima rasuah RM300, bekas ketua polis balai didenda RM10,000

Terima rasuah RM300, bekas ketua polis balai didenda RM10,000

MOHAMED Azli Adam (kiri) hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi rayuan akhir kes rasuah melindungi operasi rumah urut. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 yang dikenakan terhadap seorang bekas ketua polis balai atas kesalahan menerima rasuah RM300 bagi melindungi operasi rumah urut menggunakan pekerja asing tanpa permit.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebaliknya memerintahkan Sarjan Mohamed Azli Adam, 60, membayar denda RM10,000 selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin bagaimanapun membenarkan permohonan perayu agar denda itu dijelaskan selewat-lewatnya Isnin depan (22 April).

“Jika denda itu gagal dibayar pada Isnin depan, mahkamah memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara enam bulan bermula tarikh berkenaan,” ujar Hakim Ahmad Zaidi ketika menyampaikan keputusannya.

Berikutan perintah tersebut, bekas Ketua Polis Balai Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih dekat sini hanya perlu membayar baki denda RM4,000 apabila mahkamah membenarkan wang jaminan RM6,000 yang dikenakan sebelum ini, digunakan untuk menjelaskan denda.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berpuas hati sabitan terhadapnya selamat untuk dikekalkan atas alasan wujud keterangan melimpah ruah (overwhelming evidence) yang mengaitkan perayu.

“Rayuan terhadap sabitan ditolak kerana perayu gagal menunjukkan hakim bicara terkhilaf ketika mencapai dapatan dan mensabitkannyya atas pertuduhan,” ujar hakim berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah menggantikan hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 itu selepas mengambil kira faktor mitigasi antara lain bahawa kesalahan itu adalah yang pertama dilakukannya.

“Jumlah yang terlibat kecil sahaja dan mahkamah turut mengambil kira latar belakang perayu yang bertugas selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam,” demikian menurut Hakim Ahmad Zaidi.

Mohamed Azli didakwa sebagai Ketua Polis Balai Komuniti Bandar Teknologi menerima wang tunai RM300 daripada seorang individu berusia 43 tahun di balai tersebut pada 14 Mac 2016.

Terdahulu, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin berkata, anak guamnya kesuntukan masa dan memohon tempoh sehingga Isnin depan untuk menguruskan denda dengan menggunakan wang jaminan RM6,000 untuk membayarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd. Jaafar membantah penangguhan denda atas alasan perayu masih mempunyai masa untuk menguruskannya hari ini.

Sebelum itu, Wan Shahrizal berhujah, rentetan kes bermula setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan berhubung kegiatan agensi kerajaan melindungi operasi rumah urut dan pelacuran menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit.

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan anak guamnya melindungi operasi tersebut sebaliknya pendakwaan hanya bersandarkan kepada keterangan saksi pendakwaan ke-16 (SP16) iaitu pegawai SPRM yang menyamar.

Peguam itu juga memohon mahkamah memberi pertimbangan bahawa anak guamnya telah berkhidmat selama 33 tahun sebelum digantung tugas pada 2020 dan sepatutnya bersara wajib pada September ini.

“Anak guam saya memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara. Hanya kerana RM300, perayu bukan sahaja kehilangan pekerjaan malah tidak merasa wang pencen dan gratuiti,” ujarnya.

Bagaimanapun, Noorhisham berhujah, keterangan SP16 boleh dipercayai dan mahkamah terdahulu menerima keterangannya bahawa wang RM300 diserahkan ketika bersalaman dengan perayu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN