PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menegaskan tiada apa yang boleh menghalangnya daripada mencipta kejayaan merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocket Rocketman berdepan beberapa isu termasuk tahap kesihatan, namun proses kelayakan ke Paris berjalan lancar menerusi kejayaannya meraih emas Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide.
Malah, katanya, tahap kesihatannya juga semakin baik selepas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pakar jantung di Melbourne serta bantuan Institut Jantung Negara (IJN).
“Semua maklum umur saya tahun ini sudah mencecah 36 tahun. Usia di mana rata-rata atlet Malaysia sudah memilih untuk bersara tetapi saya bukan sahaja dapat mengekalkan momentum malah dapat meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
“Kesihatan saya semakin baik daripada sebelum ini. Saya masih dalam proses pemantauan dan sentiasa berhubung dengan doktor di IJN.
Azizulhasni sebelum ini menarik diri dari Piala UCI Mesir berikutan penyakit perikarditis dialaminya sekali gus mengabaikan kejohanan di Hong Kong dan Kanada untuk memberi laluan kepada latihan intensitinya di Australia.
Azizulhasni berkata, momentumnya untuk kejohanan antarabangsa tidak pudar rentetan penarikan diri daripada dua kejuaraan Piala UCI tahun ini.
“Selepas beraksi cemerlang di siri pertama Australia ia memberikan kelebihan buat saya untuk tidak menghadiri siri-siri yang lain. Perancangan awal buat saya adalah untuk menyertai siri pertama di Adelaide dan siri kedua di HongKong sahaja.
“Dua faktor saya tidak pergi ke Hong Kong adalah sudah memenangi di Australia dan mendapat mata yang selesa dan keduanya kerana nasihat dari doktor untuk rehat dan memberi ruang untuk proses pemulihan,” katanya.
Azizulhasni atau mesra dengan panggilan Jijo menjalani minggu terakhir kem latihan di Melbourne dan akan menyambung latihannya semula di Malaysia untuk beberapa minggu.
Beliau secara tidak rasmi bakal mengetuai kontinjen berbasikal trek negara diikuti Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Azizulhasni mencipta sejarah baharu membuat penampilan kelima, sama dengan Datuk Leong Mun Yee dalam sukan terbesar itu sekali gus penampilan terbanyak untuk atlet lelaki Malaysia. – UTUSAN











