Tambahan RM600 juta pembangunan negeri

Tambahan RM600 juta pembangunan negeri

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor ketika Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya. - GAMBAR MOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah baik peruntukan Pemberian serta sokongan kepada negeri-negeri sekitar RM8.9 bilion pada tahun ini, penambahan sebanyak RM600 juta lagi berbanding pada tahun lalu.

Perkara itu dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Kewangan Negara semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Anwar berkata, peningkatan peruntukan itu akan diberikan secara serentak.

Beliau menegaskan, Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Besarlah harapan saya agar pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara peningkatan pemberian sebagaimana yang diumum dalam Belanjawan 2024 peningkatan pemberian penyelenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta.

“Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (Ecological Fiscal Transfer (EFT)) dinaikkan kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada tahun lalu.

“Penambahan Pemberian Khas Tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023

“Peningkatan pemberian kepada Perpustakaan dan Muzium Negeri sebanyak 10 peratus pada tahun ini,” katanya.

Menurut Menteri Kewangan itu lagi, bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun ini untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada tahun lalu dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Katanya, kelulusan permohonan kerajaan negeri telah diberikan berhubung kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

“Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan supaya pembelian Jambatan Sementara Bailey (‘Bailey Bridge’) menggunakan peruntukan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri secara sekali beri (one-off) bagi tahun ini.

“Kenaikan had untuk membiayai pembelanjaan pengurusan berkaitan penyelenggaraan jalan negeri sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, Kerajaan Madani terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia.

Katanya, hasrat ini dizahirkan melalui peningkatan pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan perbelanjaan pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×