PUTRAJAYA: Isu pewarisan dan anak angkat antara bidang yang akan dinilai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam dalam usaha menambah kuasa mahkamah syariah.
Jawatankuasa itu yang ditubuhkan pada Disember 2023 akan memberi cadangan jika ada keperluan menambah bidang kuasa mahkamah syariah selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, apa yang lebih utama adalah memperkasa mahkamah syariah.
Selain itu kata beliau, ia adalah untuk memastikan tidak berlaku pertindihan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
“Jawatankuasa ini akan mencadangkan apa lagi kesalahan-kesalahan lain selain menghina agama Islam dalam kalangan orang Islam, zina, minum arak, hukuman tidak solat Jumaat dan menghormati bulan Ramadan. Kemungkinan ada lagi bidang lain boleh dimasukkan yang sebenarnya ia tidak jatuh dalam bidang kuasa mahkamah sivil.
“Mahkamah sivil tidak boleh membuat undang-undang tersebut, jadi ada keperluan untuk dua perundangan di negara ini. Untuk umat Islam, kita hendak didik dengan hukuman tetapi dalam undang-undang sivil tidak dianggap sebagai satu kesalahan,” katanya di sini baru-baru ini.
Jawatankuasa Khas tersebut yang ditubuhkan pada Disember tahun lalu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan 10 individu lain sebagaimana dititahkan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia antara lain bertujuan membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang yang berbangkit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Mohd. Na’im, jawatankuasa itu turut menilai keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan jika kajian pihak mereka melihat ada keperluan sampai ke peringkat tersebut.
Ini kerana, katanya, terma lantikan mereka tidak menghalang untuk mencadangkan kepada MKI sekiranya ada keperluan itu selepas kali terakhir pindaan Perlembagaan dibuat pada 1988.
“Kalau ada mana-mana peruntukan Perlembagaan menghalang kuasa mahkamah syariah sepertimana berlaku pada 1988, kerana sebelum itu apa yang nampak mahkamah syariah seolah-olah jadi kelas kedua memandangkan keputusan hakim mahkamah syariah boleh diubah oleh hakim mahkamah sivil. Maka perkara 121 dipinda dan dimasukkan klausa 1A.
“Dengan adanya pindaan Perkara 121 itu, perkara-perkara yang berada di mahkamah syariah dan diputuskan hakim mahkamah syariah tidak boleh dibatalkan atau dipinda oleh mahkamah sivil,” katanya.
Beliau menjelaskan, pindaan tersebut adalah satu-satunya dibuat kepada Perlembagaan dan amat signifikan dengan tujuan memperkasa mahkamah syariah.
“Sebelum 1988, keputusan mahkamah syariah ketika itu boleh dibatalkan dan diubah oleh hakim mahkamah sivil. Dengan adanya pindaan ini, hakim mahkamah sivil tidak ada lagi kuasa untuk campur tangan dan meminda atau membatalkan mana-mana keputusan hakim mahkamah syariah.
“Jadi, jawatankuasa akan kaji dan melihat kalau ada yang menghalang mana-mana peruntukan Perlembagaan. Setakat ini belum nampak lagi tapi kita ada masa setahun. Tuanku Sultan Selangor tidak mahu tergesa-gesa, tidak mahu nanti jadi masalah balik. Biar kita lihat secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










