'Tak mengaku salah pecah amanah wang syarikat lebih RM200,000'

‘Tak mengaku salah pecah amanah wang syarikat lebih RM200,000’

MOHD. Rizal Zainal Abiddin (tengah) ketika dibawa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah terhadap wang milik syarikatnya yang berjumlah lebih RM200,000, Jun tahun lepas.

Tertuduh, Mohamad Rizal Zainal Abiddin, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan seorang pengurus stor didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya menggunakan wang hasil jualan pelanggan berjumlah RM204,603.60 yang diamanahkan kepadanya untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bagan Ajam, Taman Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 3.40 petang, 23 Jun tahun lepas.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, hukuman sebat selain boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh pula tidak diwakili sebarang peguam.

Terdahulu, ketika sesi prosiding berlangsung, pihak pendakwaan memohon agar jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran di atas perbuatannya itu.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan kerana dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai ketika ini.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan agar tertuduh membayar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 20 Mei depan sebagai sebutan semula kes.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×