Tak guna status ayah sebagai jalan pintas - Utusan Malaysia

Tak guna status ayah sebagai jalan pintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI anak Datuk Afdlin Shauki, Mia Sara Shauki, 25, sering berdepan pespektif stereotaip masyarakat mengaitkan kemasukannya dalam industri seni melalui ‘jalan pintas’.

Dia sering dihujani soalan berkaitan hal tersebut, terutamanya dari bukan orang industri.

Namun Mia percaya dengan kemampuan sendiri. Kehadirannya mewarnai dunia drama dan perfileman tempatan tidak bertongkat status si ayah.

“Ramai yang tanya saya macam mana saya dapat tawaran berlakon. Soalan itu sering saya terima dari pihak media. Kalau orang industri, tak pernah pula.

“Saya tak ada masalah berdepan soalan begitu. Tetapi ia membuatkan saya lebih berhati-hati kalau terlalu kerap disoal benda yang sama.

“Saya akui memang ada peluang saya dapat menerusi ayah saya. Tetapi pada masa sama, saya membuktikan yang saya layak berada dalam dunia seni kerana bakat dan keinginan saya,” katanya.

Mia mengakui pembabitan dalam dunia seni pada awalnya tidak mendapat restu keluarga lebih-lebih lagi ayahnya.

Katanya, bukan mudah untuk meyakinkan bahawa dia boleh menyinar dan menjaga diri apabila berkecimpung dalam lapangan yang tiada ketentuan itu.

“Sebelum ini, ayah saya tidak bersetuju saya jadi pelakon. Dia nampak sisi gelap dunia hiburan, kalau boleh dia tak nak saya lalui perkara itu.

“Pada masa yang sama, dia juga mahukan saya mencari pekerjaan lebih stabil kerana dunia lakona ini tidak menjamin masa depan yang cerah. Kalau boleh dia mahu saya belajar dan berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Tapi saya meyakinkan dia bahawa saya memang minat berlakon. Lama kelamaan dia benarkan dengan syarat saya berdikari,” jelasnya.

IKUT KEMAMPUAN, BUKAN KEHENDAK ORANG LAIN

BINTANG filem Geng Kubur ini bersedia jika dirinya dibanding-bandingkan dengan ayahnya yang lebih dahulu menempa nama sebagai pelakon.

Kata Mia, tiada istilah kecil hati kalau dibandingkan, sebaliknya percaya pada kemampuan diri dan melakukan sesuatu bukan kerana orang lain.

“Perbandingan itu selalu berlaku kepada anak seorang pelakon. Itu satu kebiasaan. Dan memang hakikatnya, saya anak Afdlin Shauki.

“Tapi saya tahu kemampuan diri. Kalau ada watak diluar kemampuan saya tak akan ambil waima ia ditawarkan dari ayah saya sendiri.

“Dan saya tahu saya boleh gunakan status ayah saya untuk dapatkan kerja dalam dunia lakonan, tapi itu bukan pilihan saya,” ujarnya.

Habis –

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN