KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat penyelenggara jalan diperintah membayar ganti rugi RM721,000 kepada seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor, tiga tahun lalu.
Demikian keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, 49, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd., syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.
Hakim Sazlina Safie berpuas hati, penunggang motosikal tersebut berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kejadian yang berlaku berhampiran Taman Kota Masai.
Mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan itu berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian.
“Syarikat itu gagal memfailkan sebarang penghujahan bertulis atau lisan walaupun selepas beberapa kali penangguhan,” ujarnya melalui penghakiman bertulis bertarikh 27 April lalu yang diperolehi pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.
Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai kira-kira jam 10 malam apabila terlanggar lubang di permukaan jalan berkenaan mengakibatkan plaintif terjatuh dan cedera.
Lelaki itu memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat peristiwa itu.
Pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah berkenaan.
Dalam keputusannya, mahkamah membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Februari 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.
“Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.
“Syarikat itu (defendan) juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan apabila pada mulanya mendakwa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang.
“Defendan sebaliknya menemukan jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” ujar beliau dalam penghakiman itu.
Beliau berkata, syarikat itu berhujah bahawa lubang itu bukan tanggungjawab mereka kerana ia milik syarikat utiliti dan sepatutnya diselenggara subkontraktor atau pihak lain.
Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).
“Walaupun kes ini merujuk kepada kerajaan dan GPA, ia adalah prinsip asas yang mesti diterapkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan jalan yang disediakan selamat untuk pengguna.
Mahkamah memberikan ganti rugi RM352,947.33 dan RM368,000 untuk ganti rugi am. Syarikat penyelenggaraan itu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi. – UTUSAN









