Syarikat Heitech Padu Berhad tawar harga terbaik perkhidmatan MySikap, Mainframe

Syarikat Heitech Padu Berhad tawar harga terbaik perkhidmatan MySikap, Mainframe

ANTHONY Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memperakukan syarikat HeiTech Padu Berhad bagi kontrak penggabungan perkhidmatan dalam talian, MySikap serta Perkakasan dan Perisian Sistem Kerangka Utama (Mainframe) untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kelulusan Perbendaharaan telah diperoleh pada 8 Februari lalu untuk nilai sebanyak RM185 juta (tidak termasuk cukai perkhidmatan).

Menurut beliau, Lembaga Perolehan MOT bersidang pada
24 November 2023 dan memperakukan syarikat berkenaan sebagai tawaran terbaik berdasarkan harga yang munasabah dan terendah yang melepasi kesemua peringkat penilaian sebelum dikemukakan untuk kelulusan muktamad Kementerian Kewangan pada 4 Disember 2023.

“MOT melaksanakan tender terbuka bagi penggabungan kedua-dua perkhidmatan tersebut pada 21 Jun 2023.

“Tiga syarikat telah mengambil bahagian dalam sistem tender terbuka tersebut. Ketiga-tiga syarikat lulus dalam syarat teknikal dan kewangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Loke, penjelasan ini dibuat kerana ada pihak mempersoalkan isu tender kepada syarikat HeiTech Padu kononnya projek ini ditawarkan disebabkan ada seorang pengarah atau pemilik saham syarikat tersebut ada hubung kait dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, isu tersebut dibawa ke perhatian Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi berhubung kaitan kontrak itu dengan bekas setiausaha politik kepada Anwar, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Loke kemudiannya menjelaskan, tawaran harga (tidak termasuk cukai perkhidmatan) daripada ketiga-tiga syarikat pembida ialah syarikat pertama (RM185,076,900); syarikat kedua (RM186,885,611.64) dan syarikat ketiga RM199,513,872.

Katanya, anggaran harga siling bagi projek ini adalah RM207,315,469.

MySikap merupakan sistem informasi kenderaan dan pemandu yang merangkumi perkhidmatan atas talian pendaftaran kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor dengan sebanyak 1,300 jenis urus niaga.

Manakala Mainframe adalah perkakasan server yang menyimpan data-data MySikap.

Loke berkata, kontrak MySikap dan Mainframe sebelum ini dibuat secara berasingan dan rundingan terus pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pada Mac 2023, JPJ mencadangkan penggabungan kedua-dua komponen tersebut kepada satu tender supaya permudahkan pengurusan aspek kawalan, pemantauan dan pengurusan projek secara koletif oleh satu syarikat yang sama.

“Dalam transisi penggabungan kedua-dua tender perkhidmatan tersebut, MOT, dengan persetujuan Perbendaharaan, memutuskan supaya lanjutan kontrak Mainframe dan MySikap diberikan dalam tempoh 1 Mei 2023 hingga 30 April 2024 dengan nilai kontrak masing-masing RM27.29 juta dan RM27.03 juta.

“Perlu ditegaskan bahawa lanjutan kontrak tersebut hanya merangkumi skop perkhidmatan yang kritikal seperti preventive maintenance, keselamatan siber dan pembaharuan lesen perisian di mana nilai harga kontrak lanjutan adalah lebih rendah berbanding dengan kontrak asal,” katanya.

Jelas beliau, langkah-langkah transisi tersebut diambil sementara penambahbaikan kontrak penggabungan tender penyelenggaraan MySikap dan Mainframe yang sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN