Suspek tembak di KLIA  larikan diri menaiki Honda City 

Suspek tembak di KLIA  larikan diri menaiki Honda City 

RAZARUDIN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis giat mengesan kereta dinaiki lelaki yang melarikan diri selepas melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah mengenal pasti kenderaan dinaiki suspek iaitu Honda City warna putih dengan nombor pendaftaran WXU5666.

“Hasil maklumat dan risikan, kita percaya suspek melarikan diri ke arah utara bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, kata beliau, suspek dan isterinya menjalankan perniagaan agensi umrah yang beroperasi di Kota Warisan Sepang.

Kata beliau, siasatan mendapati mereka sudah berkahwin sekitar 14 tahun dan menjalankan perniagaan itu bersama.

“Lelaki terbabit memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bersabit kes Selayang.

“Selain satu kes 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan bersabit laporan polis di Gombak serta satu kes orang dikehendaki bersabit kes di Muar mengikut Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti pistol kaliber peluru 9 milimeter (mm) semi automatik digunakan suspek miliknya atau individu lain.

“Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sama ada dia membeli sendiri atau meminjam pistol itu,” jelasnya.

Beliau berkata, saksi utama di tempat kejadian adalah isteri suspek dan polis bantuan yang bertugas di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 dan seorang saksi bebas iaitu lelaki tempatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Polis juga sedang menyemak dengan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

“Orang ramai diminta menghentikan membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini termasuk menyebarkan motif kejadian yang masih dalam siasatan lanjut supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN