KOTA BHARU: Tempoh tahanan reman terhadap suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disambung lima hari lagi.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bermula semalam sehingga Sabtu.
Proses tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, Hafizul Hawari, 38, tiba di pekarangan Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.35 pagi dengan kawalan ketat oleh anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dilihat tenang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Hafizul ditahan polis di hadapan sebuah hospital swasta di sini.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek semasa melepaskan tembakan di KLIA.
Sementara itu, Hafizul sempat bercakap kepada pemberita dengan mendedahkan dia masih menyayang isterinya, Farah Md. Isa.
Hafizul membuat pengakuan itu di hadapan sekumpulan wartawan sebaik sahaja tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini untuk prosiding sambung reman.
“Assalamualaikum, saya masih menyayangi isteri saya, Farah Md. Isa,” katanya.
Sebelum ini, suspek direman selama tujuh hari bermula 16 April lalu sehingga hari ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN










