PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi 25,000 kampit beras 10 kilogram kepada asnaf sepanjang Ramadan tahun ini.
Berdasarkan hantaran melalui akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan itu dikurniakan kepada asnaf di sekitar ibu negara.
Sultan Ibrahim juga berkenan mengurniakan sumbangan beras kepada 194 kakitangan Istana Negara dan pekerja pengurusan fasiliti Istana Negara serta Istana Melawati di Putrajaya.
Penerima sumbangan terdiri daripada kakitangan gred jawatan 11 dan 14 menyaksikan kurniaan disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim.
Dalam hantaran berasingan, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mengenang kembali zaman kanak-kanak ketika malam Ramadan di kampung halaman Seri Paduka di Kuala Kangsar, Perak.
Raja Zarith Sofiah menyifatkan Ramadan, terutama pada 10 malam terakhir sebagai mengujakan dan menyeronokkan walaupun pada masa itu, Seri Paduka tinggal di bandar yang sunyi, seperti yang digambarkan orang ramai mengenai Kuala Kangsar.
Seri Paduka ketika itu masih mengingati bahawa bandar berkenaan menyambut dan meraikan “Malam 27” (dianggap satu daripada 10 malam Lailatul Qadar), dengan pertandingan rumah dihiasi lampu terbaik.
“Kakanda saya akan membawa kami melihat semua rumah yang dihiasi lampu kelap-kelip berwarna-warni. Kami akan cuba meneka rumah mana yang paling cantik dan akan menang!
“Kemudian, kami menggerakkan tangan ke atas ke bawah dan berpusing, dan membuat tarian bunga api di langit malam!” titah Seri Paduka dalam hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Raja Zarith Sofiah bertitah, menghabiskan masa di taman adalah lebih baik berbanding menonton televisyen pada masa itu kerana saluran terhad ketika 60-an dan 70-an.
“Hanya dua saluran televisyen! Tiada Astro, tiada Netflix, tiada YouTube, tiada Apple TV,” titah Seri Paduka Baginda.
Walaupun kehidupan lebih sederhana pada waktu itu, Raja Zarith Sofiah bertitah Seri Paduka Baginda dan adik-beradiknya amat gembira dan berpuas hati dengan apa yang ada.
“Betapa menariknya kehidupan kita sekarang, saya tidak akan menggantikan kegembiraan zaman kanak-kanak semasa malam Ramadan di kampung halaman di Kuala Kangsar, dengan sesuatu yang lebih megah,” titah Seri Paduka Baginda. –UTUSAN










