Sukan lasak Lenggong Iron Bound A1 World Cup 22-25 November ini - Utusan Malaysia

Sukan lasak Lenggong Iron Bound A1 World Cup 22-25 November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Perak sekali lagi bakal dikunjungi pasukan-pasukan elit adventure racing dunia pada 22-25 November ini sempena Tahun Melawat Perak 2024 selepas  kejayaan penganjuran kejohanan sukan lasak antarabangsa, Lenggong 48H Iron Bound A1 National Series 2022.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kejohanan Lenggong Iron Bound A1 World Cup disenaraikan dalam kalendar antarabangsa A1 Nationwide.

Menurutnya, kejohanan itu mendapat hak penganjuran berlesen daripada A1 Nationwide Australia dan World Obstacle Federation dan pada tahun ini, Malaysia diberi pengiktirafan untuk menganjurkan A1 Asia World Cup.

“Kejohanan Expedition Adventure Racing ini dianjurkan Akademi Orienteering Malaysia, iaitu penganjur anak jati negeri Perak yang berpengalaman dalam penganjuran sukan lasak antarabangsa.

“Kejohanan ini mendapat sokongan Majlis Pelancongan Lenggong dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong,” katanya.

Menurutnya, kejohanan sukan lasak itu berformatkan perlumbaan berpasukan seramai empat peserta yang berlangsung selama 48 jam tanpa henti.

Beliau berkata, ia merangkumi disiplin seperti orienteering, berbasikal bukit, berkayak, berakit, tali tinggi, penjelajahan gua, berlari denai dan merentas hutan dan semua disiplin itu dilalui secara bernavigasi dan pemetaan.

“Antara negara-negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Argentina, Afrika Selatan, Hong Kong, England, Sepanyol, Filipina dan lain-lain negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN