Suami isteri maut kemalangan rempuh pembahagi jalan

Suami isteri maut kemalangan rempuh pembahagi jalan

KEADAAN kereta dinaiki pasangan suami isteri yang maut selepas terlibat dengan kemalangan di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Jambatan Pahi, Kuala Krai, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Honda Accord yang dinaiki
mereka merempuh pembahagi jalan di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Jambatan Pahi, di sini semalam.

Kejadian pukul 4.34 petang itu, lelaki berusia 54 tahun dan isterinya, 50 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tercampak keluar dan tersepit di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan mendapati, semasa kejadian pasangan tersebut dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menghala ke Sungai Sok, di sini.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh pembahagi jalan yang berada di sebelah kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan wanita yang duduk di sebelah penumpang depan tercampak keluar manakala suaminya tersepit di dalam kereta tersebut.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN