PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti bagi mengesan aliran wang hasil kegiatan penyeludupan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, beberapa tindakan sedang diambil SPRM ketika ini.
“Tiada tangkapan baharu membabitkan penjawat awam dan pemilik syarikat dilakukan namun siasatan sedang dijalankan.
“Penjawat awam dan pemilik syarikat yang ditahan SPRM sebelum ini juga sudah dibebaskan dengan jaminan,” katanya di sini.
Sumber berkata, sehingga kini, sebanyak 231 akaun bank kesemua individu berkenaan dan syarikat yang bertindak sebagai keldai akaun dengan jumlah pembekuan sebanyak RM17,621,578.50 dibekukan.
Media sebelum ini melaporkan seramai 34 anggota dan pegawai JKDM yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan SPRM dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu.
Operasi khas itu bermula pada 11 Mac hingga 25 Mac lalu diketuai Bahagian AML, SPRM bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Hasil operasi itu seramai 34 anggota dan pegawai kastam dari gred 19 hingga gred 44 ditahan bersama 27 individu dan pemilik syarikat yang terbabit di dalam industri pengimportan dan penjualan arak dan rokok seludup yang dipercayai merasuah pegawai agensi penguatkuasaan bagi melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.
Penjawat awam yang ditahan itu berusia 30-an hingga 50-an terdiri pembantu penguatkuasa kastam sehingga ke penolong pengarah kastam yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport di KLIA Kargo, Sepang.
Pegawai dan anggota kastam ini dikesan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan. – UTUSAN










