Speaker tentu nasib enam ahli Parlimen Bersatu

Speaker tentu nasib enam ahli Parlimen Bersatu

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuasa untuk menentukan sama ada enam kerusi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kosong atau sebalik­nya kini terletak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pe­ngerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, keputusan sama ada berlaku kekosongan terhadap enam kerusi Parlimen tersebut akan dimuktamadkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Speaker.

Menurutnya, keputusan tersebut akan dibuat selepas Speaker mendapatkan panda­ngan daripada pentafsir undang-undang seperti Peguam Negara untuk melihatnya dari sudut pandang Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Speaker membuat keputusan bahawa berlakunya kekosongan kerusi susulan pin­daan perlembagaan parti ter­­sebut maka tidak dapat tidak Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu dilaksanakan sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, isu pindaan tersebut tidak boleh dibiarkan tergantung untuk jangka masa lama kerana ia akan mewujudkan pelbagai interpretasi dalam kalangan ahli politik dan parti masing-masing berhubung per­kara berkenaan.

“Mesti ada satu autoriti untuk memutuskan permasalahan tersebut. Tidak boleh dibiarkan tergantung sahaja kerana ia memberi gambaran tidak jelas kepada rakyat dan boleh menggugat kestabilan politik di negara.

“Mahu tidak mahu pihak ber­wajib perlu mengambil pe­negasan dalam isu tersebut secepat mungkin,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Keputusan dibuat dalam Per­himpunan Agung Tergempar (EGM) selepas perwakilan Ber­satu yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 perlembagaan parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu me­ngisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, pada 7 Mac la­lu, ADUN Selat Klang, Datuk Ab­dul Rashid Asari yang juga bekas Ketua Pimpinan Bersatu Se­la­ngor pula mengisytiharkan menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan tiga fasal baharu iaitu Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Mengulas berhubung kos jika Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa dilaksanakan di enam Parlimen dan satun DUN tersebut, Wan Ahmad berkata, beliau tidak da­pat menganggarkan jumlah da­na yang terpaksa dibelanjakan kerajaan bagi melaksanakan pro­ses demokrasi tersebut.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, kos PRK biasa bergantung kepada keluasan Parlimen dan jumlah keseluruhan pengundi di kawasan tersebut.

“Selepas mengambil kira dua faktor itu barulah SPR dapat menganggarkan jumlah peruntukan yang diperlukan untuk menanggung kos seperti cetak kertas mengundi, jumlah lantikan petugas, logistik dan sebagainya.

“Tetapi kos PRK Parlimen biasanya lebih besar berbanding DUN kerana keluasan kawasannya dan jumlah pengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×