HULU SELANGOR: Pemimpin-pemimpin DAP menegaskan Pang Sock Tao bukan ‘budak baharu’ yang muncul dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sebaliknya ‘watak penting’ dalam parti.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, Sock Tao adalah ahli lama DAP dan memainkan peranan yang penting untuk parti setiap kali pilihan raya berlangsung.
Sehubungan itu, katanya, beliau berharap Sock Tao akan diterima dan dipercayai oleh pengundi-pengundi Kuala Kubu Bharu untuk meneruskan legasi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, mendiang Lee Kee Hiong.
“Saudari Sock Tao seorang wanita muda yang masih kuat dan boleh bekerja dengan baik serta semestinya memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Kubu Bharu. Jadi saya percaya dengan kebolehan beliau dan berharap pengundi juga boleh memberikan kepercayaan tersebut.
“Walaupun Sock Tao mungkin baharu dikenali tetapi beliau bukan baru di dalam parti. Dia sentiasa bersama dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini dan tahu situasi semasa berkempen serta ketika berjumpa dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Pasar Batang Kali, di sini.
PRK Kuala Kubu Bharu akan menyaksikan pertembungan antara empat penjuru iaitu selain daripada Sock Tao turut sama bertanding adalah Khairul Azhari Saut yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Untuk rekod, sebanyak 40,226 akan mengundi pada 11 Mei ini dalam PRK Kuala Kubu Bharu bagi menentukan pengganti kepada Kee Hiong yang meninggal dunia pada 21 Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Sock Tao merupakan seorang yang berdedikasi komited sejak berkhidmat ibu pejabat DAP serta sejak awal dikenalinya.
“Pada saya Sock Tao merupakan seorang dinamik, beliau banyak memberi idea-idea baharu bagaimana kita nak menyampaikan mesej parti kepada pengundi-pengundi terutama orang muda.
“Sock Tao juga sebenarnya agak terkenal dalam media Bahasa Mandarin. Jadi dari situ secara peribadi saya melihat bagaimana saudari Sock Tao benar-benar dapat memberikan idea Baharu. Saya percaya beliau dapat membawa kesedaran, dinamisme dan kesungguhan kepada pengundi-pengundi Kuala Kubu Bharu sekiranya diberi peluang untuk berkhidmat,” katanya. – UTUSAN










