KUALA TERENGGANU: Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) hari ini melancarkan perkhidmatan sistem pembayaran tanpa tunai untuk kemudahan kepada pengunjung memasuki Kompleks Muzium Negeri Terengganu dekat sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, inisiatif itu diambil seiring dengan kemajuan teknologi dan era digital ketika ini dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung selepas ini.
Menurutnya, kaedah pembayaran tanpa tunai itu juga memberi keselesaan kepada pengunjung muzium tersebut.
Katanya, kemudahan terbaharu itu disediakan dengan kerjasama Affin Bank Bhd.
“Ini adalah satu permulaan yang sangat positif untuk LMNT mengorak langkah dalam era digitalisasi dunia tanpa sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai dan
Jamuan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2024 di Muzium Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Ketika ini, harga tiket yang dikenakan ialah RM5 bagi orang dewasa; kanak-kanak (RM2); dewasa bukan warganegara (RM15); kanak-kanak bukan warganegara (RM10) dan pelajar sekolah beruniform (RM1).
Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang pula, beliau yang juga Pengerusi LMNT berkata, pihaknya sedang mengatur pelbagai strategi dalam mengangkat martabat warisan khazanah budaya untuk tatapan generasi akan datang.
“Kita akan meneroka secara serius aspek digitalisasi termasuk mengadakan pameran dalam bentuk digital sebagai pembaharuan serta nilai tambah institusi muzium,” katanya.
Pada majlis yang sama, LMNT turut menerima sumbangan enam buah kerusi roda daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan pengunjung LMNT yang uzur.
“Kemudahan kerusi roda ini diharapkan dapat menggalakkan kedatangan pengunjung warga emas dan OKU agar mereka juga dapat meneroka warisan budaya dan khazanah yang ada di sini. – UTUSAN










