PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan situasi semasa dan mengambil langkah segera menangani anasir yang mahu mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara.
Gesaan itu dibuat susulan serangan ketiga membabitkan kedai serbaneka KK Mart di Sarawak yang disifatkan sebagai negeri paling harmoni dalam toleransi agama.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sudah bertitah disambut dengan amaran keras oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kedai KK Mart ketiga telah menjadi sasaran serangan bom molotov di Sarawak.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga telah bertitah supaya semua pihak berhenti mengambil kesempatan terhadap isu ini dan menitahkan bahawa ia harus diserahkan kepada pihak berkuasa.
Katanya, baginda juga bertitah bahawa telah mengarahkan agar tindakan sewajarnya untuk diambil, maka tidak perlu bagi mana-mana pihak untuk menyalakan api kemarahan.
“Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO enggan mempedulikan titah Diraja ini dan masih meneruskan boikot terhadap KK Mart. Ini adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan negeri Melaka yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya.
“Biarpun Ketua Pemuda UMNO telah menafikan sebarang motivasi politik dan mengutuk serangan ke atas KK Mart, tindakan memboikot ini tidak menghentikan serangan ganas ke atas KK Mart oleh anasir pelampau yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, apa yang membimbangkan pihaknya adalah serangan terbaharu terhadap KK Mart tersebut berlaku di Sarawak iaitu negeri paling harmoni dalam toleransi antara agama, terkenal kerana mengamalkan perpaduan dalam kepelbagaian serta negeri asal pemilik KK Mart.
Justeru tegasnya, ini menunjukkan tiada lagi tempat yang selamat di Malaysia daripada serangan ke atas cawangan KK Mart.
“Memandangkan kepimpinan nasional UMNO juga memutuskan untuk menyokong tindakan Ketua Pemuda UMNO bagi meneruskan boikot ini, maka Kerajaan Persekutuan mesti mengambil langkah untuk mengelakkan sebarang tindakan yang menyemarakkan lagi api kemarahan menjadi lebih berbahaya di luar kawalan.
“Perdana Menteri harus memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan situasi ini dan mengambil langkah-langkah segera untuk mengelakkan sebarang anasir pencetus yang mampu menggugat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya. –UTUSAN










