Seorang maut, dua cedera Volkswagen langgar pokok

Seorang maut, dua cedera Volkswagen langgar pokok

KEADAAN seorang wanita yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta jenis Volkswagen yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Macalister, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, mangsa yang maut iaitu seorang pemandu wanita, Foo Yu Xuan, 24, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut dengan kekuatan lapan anggota termasuk seorang penyelia bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.

“Ketika tiba di lokasi, didapati ketiga-tiga mangsa iaitu seorang wanita dan dua orang lelaki berada dalam keadaan tersepit di dalam kereta berkenaan.

“Komander Operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan dilakukan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan segera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang tersepit akhirnya berjaya dikeluarkan pada pukul 5.27 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.

“Mangsa yang maut itu telah disahkan oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang berada di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sementara itu, dua lagi mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×