Sembunyi 1.3 juta rokok seludup guna pengangkut kontena terbiar tepi jalan - Utusan Malaysia

Sembunyi 1.3 juta rokok seludup guna pengangkut kontena terbiar tepi jalan

Rokok seludup
NORLELA Ismail menunjukkan lori kontena terbabit pada sidang akhbar Jabatan Kastam Zon Tengah Unit II Selangor berhubung kejayaan menyekat penyeludupan rokok Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sindiket penyeludupan rokok kini dikesan menggunakan taktik menyembunyikan bahan itu di bawah pengangkut kontena kosong yang terbiar di tepi jalan.

Difahamkan, ahli sindiket dipercayai mengambil rokok tidak berlesen itu pada waktu tertentu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor yang menemukan 1.3 juta rokok di bawah sebuah pengangkut kontena di tepi jalan di Balakong, kira-kira pukul 3 petang, 29 Mac lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan pihaknya selama lebih dua minggu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan sejumlah rokok seludup yang disorok di bawah pengangkut tersebut.

“Rampasan itu melibatkan sebanyak 1.32 juta batang rokok dianggarkan RM105,600 manakala cukainya bernilai RM881,760.

“Kontena dan kesemua rokok berkenaan disita bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pangkalan Marin Kastam, hari ini.

Menurut Norlela, pengimportan dagangan rokok itu tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Tambah beliau, taktik itu merupakan modus operandi baharu yang digunakan sindiket.

“Siasatan ses berkenaan masih giat dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya