Saya bersyukur ibu ayah beri nama Alif - Alif Satar - Utusan Malaysia

Saya bersyukur ibu ayah beri nama Alif – Alif Satar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK kontroversi tidak bermoral membabitkan selebriti bernama Alif yang bertebaran di media sosial dan menjadi buah mulut masyarakat kebelakangan ini, ada satu pemilik nama serupa yang berbeza perwatakannya.

Baik dari segi tutur kata, personalitinya, ilmu pengetahuannya, semua itu bagaikan tersimpul rapi membentuk karisma dan aura kuat buat figura bernama Alif Satar ini.

Bukannya dia tidak tahu bahawa begitu ramai sedang membenci dan mengutuk ‘Alif-Alif’ sensasi lain. Tetapi, penyanyi dan pelakon berusia 33 tahun ini lebih senang untuk tidak memberi komen mengenai perihal orang lain.

“Saya bersyukur sebenarnya diberi nama Alif oleh ibu ayah saya 33 tahun lepas. Saya rasa nama ini jugalah yang menjadikan siapa saya yang sekarang, membawa tuah buat saya.

“Alhamdulillah, saya selalu fikir, semua yang saya raih terutama kejayaan dalam hidup ini, ia adalah kerana doa-doa ibu dan ayah. Dikurniakan orang tua yang masih hidup, isteri yang sangat memahami dan menyokong, anak-anak yang bijaksana, tiada sebab untuk saya tidak bersyukur.

“Sebab itu, saya tak pandai nak buat perkara yang merepek. Hidup saya, pergi kerja, dah habis kerja, balik rumah. Tak ada nak pergi berparti atau berlama-lama di sesebuah acara tanpa sebab. Itulah saya sejak masuk dunia seni ini ketika berusia 16 tahun sampai sekarang.

“Anda tidak akan pernah nampak kelibat saya di mana-mana parti. Sudah 18 tahun saya berada dalam industri ini dan saya tahu betapa senangnya jika Allah SWT mahu tarik nikmat itu jika saya buat ‘perangai’.

“Tak nahu saya buat begitu sebab saya bina apa yang saya miliki sekarang sejak sekian lama. Apa yang orang nampak pada tahun 2024, mungkin ini adalah persiapan saya sejak 10 tahun lalu.

“Senang cerita, saya tak alami kejutan budaya. Itu yang saya selalu doa untuk diri,”katanya.

Tak pernah anggap diri selebriti

Ditanya sama ada dia berasa kekok atau berat menggalas tanggungjawab sebagai seorang selebriti contoh, kata Alif, hakikat sebenar, dia tidak pernah mengakui bahawa dirinya merupakan seorang selebriti.
Bahkan, untuk menyebutnya di hadapan orang ramai juga membuatkan dirinya berasa segan.

“Sejujurnya, saya tak pernah anggap diri selebriti. Demi Allah! Sebab itulah saya tak pernah rasa segan untuk pergi ke mana-mana, lepak mamak ke, duduk dengan sesiapa pun, saya okey sahaja.

“Saya cuma tahu bahawa saya berstatus figura awam. Saya tahu yang segala apa yang dilakukan, orang akan tengok, percaya atau dengar atau rujuk. Kalau buat perkara tak baik, orang akan cakap ‘Alahai, Alif buat boleh?’. Saya tak mahu perkara tak elok dicontohi orang.

“Sebab itu juga, saya rasa tanggungjawab itu berat. Kadangkala kalau terpaksa pergi ke tempat yang tak seronok sikit, saya rasa tak selesa atau was-was, saya akan tanya pada ustaz atau mufti sendiri untuk kepastian,”katanya.

Pada masa yang sama, kata penyanyi lagu Sesungguhnya ini, dia juga hairan mengapa kini disebut sebagai seorang selebriti berkonsep Islamik sedangkan sejak dari dahulu dirinya tidak pernah berubah.

“Bila orang tanya saya sekarang dah ke arah Islamik ke, saya rasa pelik juga. Sebabnya, secara peribadi, rasanya saya dari dulu memang macam ini saja.

“Tapi tak kecil hati pun, saya okey saja. Cuma apabila kadang-kala orang ramai terlalu memuji, timbul perasaan bimbang dalam hati. Bukan apa, segala yang sempurna itu hanyalah Dia sahaja.

“Kita ini sebagai hambanya yang kerdil, pasti ada kesilapan dan kelemahan. Sebab itu kita sendiri kena berusaha perbaiki diri jadi lebih baik. Apa pun, saya syukur jika ramai orang senang melihat saya begini,”katanya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang diilhamkan olehnya, kata Alif, usaha itu akan diperluas kepada komuniti Islam di United Kingdom pertengahan bulan depan.

“Mesti bagus kalau buat dekat sana, kalau di Malaysia kita boleh tarik berpuluh ribu orang datang, insya-Allah kita cuba.

“Benda ni sangat organik dan tak payah rancang sangat. Macam sebelum ini saya letak di Instagram sahaja esok nak pergi masjid mana, esoknya ramai yang datang, itulah keindahan #GengSubuhMacamJumaat ni,” katanya yang berazam untuk meneruskan fenomena itu sepanjang hayatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN