Sarah Yasmine mengaku kekasih Aliff Aziz - Utusan Malaysia

Sarah Yasmine mengaku kekasih Aliff Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Aliff Aziz kembali mencuri perhatian apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Yasmine membuat pengakuan dirinya sebagai kekasih pelakon tersebut.

Sarah yang mendakwa menjalinkan hubungan dengan Aliff sejak Januari lepas tampil membuat pengakuan selepas selebriti berusia 33 tahun itu ditangkap khalwat dengan pelakon, Ruhainies.

“Pertamanya bukan niat saya untuk mengeruhkan lagi keadaan atau mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya merupakan kekasih kepada Aliff Aziz sejak 2024. Memang kedengaran agak
mengejutkan semua pihak tapi itulah kenyataan yang ingin saya jelaskan lebih lanjut.

“Betul memang apa yang dilakukan Aliff itu salah. Salah tetap salah tapi Aliff tidak berhak
dituduh keseorangan begitu kerana apa yang saya lihat hanya Aliff yang banyak dikecam dibenci dan dikeji.

“Sebab perempuan? Ya perempuan yang mempergunakan dia selayaknya bersalah sama. Siapa yang kena tangkap khalwat, dah tahu kan?”katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Sarah pada masa yang sama berkongsi gambar mesranya bersama Aliff selain mendedahkan mesej antara suami Bella Astillah itu dengan pelakon yang dipercayai Ruhainies.

Dalam pada itu Sarah mendedahkan sebelum ini Aliff sering berkongsi masalah rumah tangga dengannya dan pernah bertemu aktor berkenaan sebelum dia memulakan penggambaran drama Terjerat.

“Saya mula rapat dengan Aliff awal Januari 2024 apabila selalu berhubungan di laman sosial kerana Aliff mengadu mengenai hubungannya dengan isteri tidak baik.

“Dan selalu meminta nasihat dan sokongan moral daripada saya, membuatkan kami lagi akrab dan Aliff mula tunjukkan rasa sayang dan cinta pada saya dan approach untuk bercinta dengan Aliff,” dedahnya.

Namun katanya dia mula berang apabila Aliff dipercayai menjalinkan hubungan dengan aktres terbabit selepas mendapat tahu tentang kemesraan mereka menerusi mesej di telefon bimbit.

“Saya mengambil telefon Aliff dan melihat
perbualannya di Whatsapp bertulis nama ‘NRF’ iaitu perempuan yang ditangkap khalwat bersama dia.

“Saya agak terkejut semasa melihat perbualan mereka seperti sedang bercinta sedangkan dalam masa sama dia bercinta dengan saya, hati saya hancur kerana mempercayai Aliff Aziz.

“Saya teruskan melihat perbualan Aliff bersama NRF, alangkah terkejutnya saya melihat rancangan-rancangan NRF untuk membolak balikkan hati Aliff kepada Bella.

“Rupanya apa yang Aliff lakukan adalah untuk melindungi NRF dan semua yang Aliff lakukan adalah dengan kata-kata dan suruhan NRF (nampak mcm Aliff dah kena brain-wash),” jelasnya.

Selain itu Sarah mendakwa dia menyimpan semua bukti perbualan yang menunjukkan pelakon wanita tersebut dan Aliff berkomplot untuk menjatuhkan Bella Astillah.

Katanya, dia juga percaya Bella mengetahui kehadirannya sebagai orang ketiga di dalam rumah tangga mereka.

“Semua perbualan (dengan bukti) . NRF yang tolong untuk peguam, pemandu, bodyguard. semua NRF uruskan, dan setiap perbualan Aliff dan NRF ber “love . sayang, rindu” segalanya.

“Hancur hati saya melihat perbualan itu, dan melihat semua perancangan jahat NRF untuk menjatuhkan Bella, dan mempengaruhi Aliff untuk berbuat perkara yang tidak sepatutnya sebagai seorang suami Bella yang masih sah.

“Semua bukti video perbualan Aliff dan NRE, bukti-bukti itu hanyalah untuk simpanan saya,” luahnya.

Dunia hiburan sebelum ini gempar dengan berita penangkapan khalwat membabitkan Aliff dan Ruhainies di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Susulan itu, Bella sekitar Mac lepas memfailkan permohonan cerai terhadap Aliff namun aktor berkenaan enggan melepaskan isterinya itu atas alasan masih sayangkan Bella dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

Terdahulu, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2016 dan pernah bercerai talak satu pada 2019 sebelum kembali rujuk ketika dalam tempoh idah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN