PETALING JAYA: Pelakon, Bella Astillah mengakui sudah berjumpa dengan ‘kekasih gelap’ suaminya, Aliff Aziz minggu lalu namun terkejut dengan pendedahan yang dibuat secara tiba-tiba baru-baru ini.
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, sebelum ini sedia maklum dengan kewujudan wanita yang mendedahkan identiti sebagai Sarah Yasmine itu terutama selepas mendapat rakaman dalam kereta suaminya.
“Dia yang cari saya, banyak kali ajak berjumpa. Bukan menyokong tetapi dia mengakui kesilapan, meminta maaf dan bercakap perkara yang benar.
“Lega besar sebenarnya bila pendedahan itu tular kerana membantu kes mahkamah yang sedang berjalan. Segala bukti sudah ada dan Tuhan permudahkan.
“Kebenaran itu datang dengan sendiri ya. Lebih-lebih kebenaran hubungan Ruhainies dan Aliff yang sebelum dinafikan kedua-duanya,” ujarnya.
Ibu kepada dua orang anak itu ditemui ketika majlis Rumah Terbuka Universal Music Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, seorang wanita dipercayai warganegara Singapura yang dikenali sebagai Sarah Yasmine mendedahkan dirinya sebagai ‘kekasih gelap’ Aliff dan mendakwa mereka sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.
Menurut wanita terbabit, dia berani melakukan pendedahan itu kepada umum selepas melihat Aliff teruk dikecam susulan kontroversi ditangkap berkhalwat dengan seorang aktres pada Mac lalu.
Sementara itu, dakwa Bella, apa yang lebih mengejutkan adalah komplot antara Ruhainies dan Aliff yang jelas mahu menjatuhkannya menerusi penyebaran fitnah.
“Sejujurnya saya sedih sangat bila dapat tahu komplot itu, tetapi saya tak mahu menangis lagi. Ada rakaman suara yang merancang menjatuhkan nama saya.
“Memang Ruhainies yang ‘menyuruh’ Aliff untuk melakukan pelbagai agenda. Fitnah itu untuk tutup kes khalwat mereka.
“Kalau niat jahat, tidak akan berkesan. Terkejut tetapi bila kita nampak pasangan kita bersama komplot jatuhkan kita, saya sedih tetapi cukuplah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bella menegaskan, dia mahu memyelesaikan kes perceraian dengan secepat mungkin dalam keadaan baik dan lancar.
“Saya mahu cerai cara baik. Segala bukti juga sudah dikumpulkan dan diserahkan kepada mahkamah. Terutama selepas bertemu Sarah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Kebenaran akan terungkal juga akhirnya, dalam masa terdekat. Saya pun tak ada hubungi Aliff, saya tak tahu pasal dia,” kongsinya.











