Sambutan Aidilfitri di Palestin hiba

Sambutan Aidilfitri di Palestin hiba

SEORANG remaja lelaki Palestin mengagihkan makanan kepada yang lain dalam suasana Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara sederhana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika umat Islam di seluruh dunia menyam­but Aidilfitri dalam kegembiraan, suasana sayu dan hiba menyelubungi bumi Palestin apabila tradisi yang dahulunya dijunjung tinggi semasa me­nyambut 1 Syawal hilang dalam sekelip mata.

Selepas hampir tujuh bulan diserang tentera Zionis Israel dan hidup dalam konflik serta krisis kemanusiaan yang masih belum nampak penghujungnya, tumpuan mereka kini adalah me­nyelamatkan diri daripada se­rangan tersebut.

Berkongsi sambutan peraya­an rakyat Palestin di Gaza kepa­da Utusan Malaysia, Asmaa Eslayeh, 32, berkata, penduduk di wilayah bergolak itu kehila­ngan tradisi sambutan Aidilfitri yang telah menjadi sebahagian daripada identiti dan budaya ma­syarakat Palestin.

Beliau turut berkongsi bahawa tradisi seperti menyediakan juadah istimewa dan menghias rumah telah terjejas akibat sera­ngan berterusan menyebabkan kemeriahan dan kegembiraan ha­ri raya yang sepatutnya dirasai hi­lang dalam sekelip mata.

“Namun begitu, sesetengah ma­syarakat Palestin cuba merai­kan Hari Raya Aidilfitri dalam ke­adaan sederhana walaupun me­reka hanya berada di dalam khemah sahaja kerana kebanyakan mereka tidak mahu keluar dari rumah masing-masing terutamanya yang berada di Rafah.

“Pada masa sama, kami juga tidak mengadakan kunjungan beramai-ramai sesama saudara mara kerana ia tidak selamat,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Asmaa percaya Allah akan permudahkan segala urusan masyarakat Palestin menghadapi ujian besar itu serta berdoa agar Allah memberikan kekuatan dan kesabaran agar ujian itu berakhir dengan selamat.

“Kami akan terus sabar dan bersyukur kerana Allah telah memilih kami untuk menghadapi ujian ini dan berdoa agar Allah akan menggantikan ujian ini dengan perkara lebih baik dan terus dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda,” katanya.

Menurut bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi, kehidupan di Palestin pada masa kini semakin sukar, terutamanya mereka sekeluarga perlu menetap di tempat kediaman sementara akibat serangan berterusan tentera Israel.

“Kami perlu menetap di sebuah rumah ladang yang hampir roboh di Khan Younis, yang terletak berhampiran zon konflik perang dengan kekurangan bekalan asas seperti air minuman, internet, pasaran dan hospital,” ujarnya.

“Hampir semua tempat kediaman kami sudah musnah sepenuhnya namun kami bernasib baik kerana mempunyai rumah ladang untuk berteduh dari serangan yang dilakukan,” katanya.

Tambahnya, kenaikan harga barang-barang keperluan turut menjadi beban tambahan seperti harga bahan api telah melonjak dari RM10 seliter kepada RM40 hingga RM50 seliter, menyebabkan pembelian barang harian semakin sukar dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×