RUU Perkhidmatan Parlimen dibentang dalam masa terdekat

RUU Perkhidmatan Parlimen dibentang dalam masa terdekat

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang dijangka dibentangkan dalam masa terdekat akan memberi takrifan baharu kepada elemen pengasingan kuasa antara judisiari, eksekutif dan legislatif kepada Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu kelak akan membolehkan Parlimen bersifat dalam struktur lebih bebas.

Beliau berkata, biarpun pelaksanaannya akan mengambil masa, tetapi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan akta ini (Akta Perkhidmatan Parlimen) adalah langkah pertama yang penting.

“Harapan saya, akta itu akan menjadi kenyataan tahun ini ,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan di sini, hari ini.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, Pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen sudah 90 peratus siap dan menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, kerajaan secara prinsip bersetuju terhadap langkah reformasi berkenaan selaras matlamat untuk memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperkenalkan bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya, namun ia dimansuhkan pada 1992.

Dalam pada itu, Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) juga diarah untuk bantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam membuat pindaan undang-undang terhadap tatacara jenayah.

Katanya, pindaan itu dilihat cukup susah kerana pindaan kanun ini akan membantu pelbagai lagi pindaan dan kewujudan beberapa undang-undang baharu terutama dalam aspek elemen digital dan kecerdasan pintar (AI).

“Maknanya, BHEUU membantu perubahan yang akan dibentuk daripada bab undang-undang yang biasa, undang-undang yang wujud pada tahun sebelum merdeka dan selepas merdeka.

“Pindaan inilah yang akan bantu agensi yang terlibat dalam jenayah komersial, isu jenayah komunikasi dan isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN