PETALING JAYA: Tempoh tahanan reman terhadap pasangan suami isteri warga tempatan yang dipercayai membekalkan senjata api kepada lelaki israel, Shalom Avitan disambung tujuh hari lagi bermula hari ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mahkamah membenarkan permohonan polis menyambung tempoh reman terhadap kedua-dua suspek selepas tempoh tujuh hari sebelum ini, tamat hari ini.
“Kita (polis) sambung reman pasangan suami isteri berkenaan bagi melengkapkan siasatan agar pertuduhan dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, empat individu yang ditahan di beberapa lokasi sekitar Johor, kelmarin turut direman tujuh hari bermula semalam.
“Mereka ini juga direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Kelmarin, empat individu termasuk dua wanita ditahan di Skudai dan Gelang Patah, Johor dalam Operasi Shalom oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dibantu JSJ Kontinjen Johor.
Penahanan kesemua suspek pada pukul 7.20 sehingga 7.45 malam itu dilakukan selepas mereka disyaki terlibat dalam urusan menyeludup enam senjata api yang dibeli pasangan suami isteri yang ditahan pada 29 Mac lalu di Kuala Selangor.
Pada 30 Mac lalu, pasangan suami isteri warga tempatan direman selepas disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.
Pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek utama dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sepucuk pistol di dalam sebuah kenderaan milik mereka. – UTUSAN










