KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan dua hari bermula 23 Oktober ini untuk pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.
Tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron. Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn ketika dihubungi media hari ini.
Rayuan itu sepatutnya didengar pada 11 Julai lalu namun ditangguhkan bagi memberi laluan terhadap permohonan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dan membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar.
Pada 26 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Rosmah tersebut.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas mendapati wanita itu bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.
Sehari kemudian, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.
Petisyen rayuan pula difailkan pada 13 Oktober lalu menyenaraikan 127 alasan, antaranya membabitkan dapatan Hakim Mohamed Zaini yang merumuskan pembelaan Rosmah adalah penafian kosong semata-mata (bare denial).
Menurut Rosmah, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas bertali jingga, sudah diserahkan atau sebaliknya.
Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan juga gagal membuktikan dia telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana.
Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.
Pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu, pada 7 September 2017.
Pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di Jalan Langgak Duta. –UTUSAN









