Pulau Pinang perlu belajar daripada Selangor - Guan Eng

Pulau Pinang perlu belajar daripada Selangor – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya belajar daripada kejayaan Selangor untuk menubuhkan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kelebihan yang sudah dimiliki di Pulau Pinang harus dimanfaatkan sepenuhnya di dalam pembuatan ‘back-end’ cip bagi mewujudkan industri pembuatan ‘front-end’ reka bentuk litar bersepadu ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, litar bersepadu itu seterusnya dapat membantu mereka bentuk cip mikro yang merupakan blok binaan asas untuk peranti elektronik, baik daripada telefon pintar kepada ‘supercomputer’.

“Penubuhan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu ini kelak tentunya akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai Silicon Valley di Malaysia.

“Dalam hal ini, Saya akan bertemu sendiri dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkenaan pendirian beliau yang merasakan penubuhan taman pemacu industri seperti ini tidak diperlukan di Pulau Pinang, lantaran sudah banyak syarikat berkaitan industri semikonduktor di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan bahawa terdapat tiga buah syarikat semikonduktor baharu iaitu China Wafer Level CSP Co. (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co. (SJE) dan Wuxi AMTE Inc. (AMTE) berminat untuk melabur di Pulau Pinang membabitkan jumlah pelaburan sebanyak USD100 juta.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pada 22 April lalu, semasa penganjuran KL20 Summit 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan mengenai pelan penubuhan Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu di bawah kelolaan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC).

“Projek ini bakal dipacu bersama empat buah syarikat sebagai rakan strategik iaitu Arm Holdings yang dimiliki oleh Softbank, Shenzen Semiconductor Industry Association, syarikat reka bentuk litar bersepadu Pulau Pinang iaitu SkyeChip Sdn Bhd dan juga syarikat Malaysia AI Storage (Mai Storage) atau Phison.

“Saya turut mengalu-alukan pengumuman Kon Yeow tentang minat yang dinyatakan oleh tiga buah syarikat semikonduktor dari China, yang sedang mempertimbangkan untuk melabur sebanyak 100 juta dolar Amerika (USD), yang sudah pasti akan memperkukuhkan ekosistem pembuatan ‘back-end’ di Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng berkata, syarikat-syarikat ini bakal dibawa masuk oleh Blue Chip Venture Capital yang berpangkalan di Pulau Pinang, iaitu salah sebuah daripada rakan kongsi dana global utama bagi Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu SIDEC.

“Syarikat-syarikat yang bertapak di Pulau Pinang seperti SkyeChip, Phison dan Blue Chip Venture Capital harus diberi insentif untuk memberi tumpuan sepenuhnya di Pulau Pinang, dan bukannya mengalihkan perniagaan atau sumber mereka ke Selangor.

“Visi Selangor adalah untuk menubuhkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dalam masa enam bulan sahaja,” katanya yang memberitahu, dengan insentif sebanyak RM125 juta daripada kerajaan Selangor dan Persekutuan serta RM75 juta lagi daripada sektor swasta, banyak syarikat termasuk dari Pulau Pinang akan tertarik untuk melaksanakan reka bentuk ‘front-end’ litar bersepadu mereka di sana.

“Pulau Pinang harus segera mengambil bahagian sepenuhnya, biarpun tidak lagi mengepalai, bagi menyelaraskan hala tuju yang sama dengan Putrajaya bagi mengalihkan sepenuhnya tumpuan sektor teknologi tempatan daripada pembuatan cip ‘back-end’ kepada kerja reka bentuk ‘front-end’ yang lebih bernilai tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN