KUALA LUMPUR: Projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing di Johor sudah mencapai lebih 90 peratus tetapi menghadapi kelewatan disebabkan masalah kontraktor.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan kolam itu mempunyai masalah subkontraktor yang dicalonkan sehingga menyebabkan projek tersebut menghadapi kelewatan.
Bagaimanapun, menurut beliau, perjalanan projek tersebut sudah berjaya mencapai sebanyak 98.4 peratus
“Nominated subcontractor kebiasaannya adalah mereka yang pakar, ada keupayaan dan tidak mudah untuk mencari ganti. Proses (untuk) mencari ganti perlu melalui tender serta sebagainya maka ia mengambil masa.
“Tetapi kita telah mendapat jaminan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), perkara ini memang diberi perhatian yang serius dan khusus. Diharapkan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak perumahan di Platinum South Valley (PSV) Sales Gallery bagi melihat proses Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Sungai Besi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pihak bertanggungjawab menjelaskan kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini masih dalam pembinaan.
Kelewatan tersebut turut dikhuatiri boleh menjejaskan kebolehupayaan GGK untuk menjalani latihan bagi meningkatkan kecekapan anggota dan pegawai.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kontraktor yang bertanggungjawab akan dikenakan penalti oleh sebarang kelewatan.
“Walaupun ia projek Kementerian Pertahanan (MINDEF) tetapi dikendalikan oleh JKR. Saya percaya JKR mempunyai tempoh masa (untuk siap),” katanya. – UTUSAN










