Polis tidak tembak suspek di KLIA kerana ramai orang awam

Polis tidak tembak suspek di KLIA kerana ramai orang awam

Hussein Omar Khan hadir di Pekarangan Aeropolis IPD KLIA untuk majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis tidak melepaskan tembakan ke arah suspek dalam kejadian melibatkan pasangan suami isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin selepas mengambil kira keselamatan orang awam di kawasan tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota bertugas telah mengambil pelbagai faktor termasuk situasi sekeliling untuk melepaskan tembakan.

“Saya tahu ramai tanya kenapa kita tidak tembak suspek di situ tetapi kawasan itu sesak dan ada kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA semalam.

Mengulas lanjut, Hussein menambah, pihak polis tidak boleh sesuka hati bertindak menembak terus penjenayah bersenjata api terutama di kawasan padat dengan orang.

“Pendekatan kita ketika itu, adalah lebih baik suspek dikeluarkan dahulu dari kawasan itu dan kita pula menyelamatkan nyawa orang awam agar situasi kembali normal,” tegasnya.

Ditanya perkembangan terbaharu kes itu, beliau memaklumkan yang setakat ini seramai 11 individu telah dirakamkan keterangan mereka termasuk saksi di lokasi kejadian.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan memanggil lagi beberapa saksi yang terlibat dalam urusan perniagaan dengan mangsa dan suspek itu untuk membantu proses penyiasatan.

Beliau turut menafikan konon ada ramai suspek terlibat dan perkara itu turut diakui oleh mangsa selain pengecaman wajah identiti menerusi banyak kamera litar tertutup di KLIA.

Hussein juga mengesahkan bahawa suspek buat masa ini dipercayai cuma bergerak solo tanpa bantuan orang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN