SHAH ALAM: Seramai 10 individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan RM500,000 di dalam sebuah bagasi, pada bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, kesemua mereka memberikan keterangan sejak hari pertama bagasi itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan sebuah pusat membeli-belah.
“Kita akan menunggu keterangan lanjut (daripada individu lain) kerana setakat ini, kita tidak berpuas hati dengan kesemua keterangan ini.
“Saksi itu perlu menunjukkan bukti, iaitu dari mana sumber wang ini diperolehi kepada kami,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat kesimpulan awal dakwaan berkemungkinan wang ditemui itu hasil daripada aktiviti pengubahan haram, sebaliknya menunggu sehingga siasatan lengkap.
Dalam pada itu, Sasikala Devi memberitahu, polis tidak meletakkan sebarang tempoh bagi mana-mana individu untuk menuntut wang berkenaan.
“Yang penting, mana-mana individu yang mengaku bahawa wang RM500,000 adalah milik mereka atau syarikat mereka perlu mengemukakan bukti bahawa wang tersebut adalah milik mereka dan dari mana memperoleh wang berkenaan.
“Kita juga sedang menunggu laporan daripada pihak forensik, iaitu mengesa pemlik cap jari pada bagasi berkenaan,” jelasnya.
Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan, tiga saksi yang sepatutnya dirakam keterangan berkaitan pemilikan bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 belum tampil memberi keterangan kepada pihak polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ialah rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak. – UTUSAN










