Polis gagalkan cubaan seludup dadah guna kapal terbang - Utusan Malaysia

Polis gagalkan cubaan seludup dadah guna kapal terbang

Seludup dadah
S. Sasikala Devi menunjukkan rampasan dadah dan beg yang digunakan suspek, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam, Selangor hari ini. -  UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis mematahkan cubaan menyeludup dadah ke Sarawak oleh dua buruh binaan menggunakan kapal terbang di Terminal 2 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, dua suspek berkenaan berjaya ditahan ketika mahu menaiki penerbangan ke negeri itu, kira-kira pukul 4 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat apabila pihak berkuasa mengesan bahan terlarang itu di dalam dua buah beg dan bagasi mereka menerusi mesin pengimbas.

“Susulan penahanan suspek, polis membuat satu serbuan ke atas sebuah kondominium di Seri Kembangan dan menemukan 21.2 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis yang bernilai RM1.76 juta,” katanya dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Tambahnya, dua suspek ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan sejak empat bulan lalu dan sudah beberapa kali menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Jelas Sasikala Devi, dadah tersebut dipercayai akan dibawa ke Sibu, Sarawak yang menjadi kawasan pasaran utama mereka.

“Suspek yang merupakan seorang warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 29 hingga 44 tahun itu tidak menggunakan keldai dadah untuk membantu mereka menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

“Suspek tempatan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Ujian saringan ke atas suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×