PKNS ikon usahawan bumiputera

PKNS ikon usahawan bumiputera

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan raya di PKNS Shah Alam, Selangor - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibarat ‘petir membelah bumi’ apabila tular dakwaan dalam media sosial sebelum Ramadan lalu, pusat beli-belah Kompleks Plaza Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu di Seksyen 14 itu.

Masakan tidak, kompleks yang wujud sejak 1970-an itu merupakan bangunan ikonik dan menjadi nadi kepada bandar raya ini dahulu apabila ibu negeri Selangor dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Sungai Renggam pada 1974.

Kemudian pada penghujung 1970-an, kompleks tersebut dibina dan mula beroperasi pada awal 1980-an serta pernah dinobatkan sebagai pusat beli belah terpanjang di Asia Tenggara pada 1988 dengan rekod 350 meter, sebelum ‘dirampas’ oleh Subang Parade.

Pembinaan Kompleks Plaza PKNS selepas kewujudan kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada 1967 merupakan nadi kepada bandar raya ini yang bukan sahaja tumpuan penduduk setempat, tetapi mahasiswa institusi pengajian tinggi itu.

Selain itu, plaza tersebut juga amat signifikan bagi pembangunan usahawan Melayu dan bumiputera yang sebahagian besarnya masih lagi bertapak di sana dengan usia perniagaan mencecah 30 hingga 40 tahun.

Menurut Pengurus Pusat, Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, Syahril Mohd. Rashid, kompleks berkenaan meskipun berusia lebih 40 tahun, ia berterusan menerima jumlah kunjungan yang ramai iaitu kira-kira 500,000 orang sebulan.

“Ada 414 penyewa, 356 daripadanya adalah terdiri daripada peniaga runcit seperti kedai baju, restoran dan sebagainya sementara selebihnya adalah pejabat termasuklah pengurusan Kompleks Plaza PKNS dan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor yang wujud sejak awal lagi di sini.

“Antara peniaga-peniaga prominent yang lama di sini dan cukup signifikan adalah Restoran FC, Restoran The Scene, Pusat Sukan Utama, Classic Cobbler, kedai gunting rambut di lorong belakang dan kedai telefon bimbit di bahagian tengah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Jelasnya, disebabkan usianya hampir setengah abad, maka tersimpan begitu banyak penanda aras penting sebagai contoh terdapat usahawan memulakan perniagaan di sana dan berkembang membuka cawangan di tempat lain.

“Portfolio peniaga di pusat beli belah itu kebanyakannya adalah warga emas yang sebelum ini berniaga mencari rezeki membesarkan anak. Rezeki yang diperolehi juga mereka hantar anak ke sekolah, masuk ke universiti. Secara tidak langsung anak-anak melihat ibu bapa mereka berniaga. Mereka ada kenangan dekat situ.

“Sebab itu Kompleks Plaza PKNS seperti mempunyai ‘nyawa’ sendiri dan berita tidak benar tentang perobohan itu mengguris hati peniaga kerana banyak menyimpan kenangan dan nostalgia yang dihidupkan setiap kali Ramadan datang.

“Kemeriahan Ramadan dan ambang Syawal amat luar biasa di situ. Tahun lalu kita catat rekod 3.5 juta pengunjung pada musim perayaan dan angka itu meningkat mendadak sejak 2021 apabila pertama kali mencecah 2.5 juta pengunjung.

“Ramadan cukup signifikan bukan sahaja membantu peniaga recover jualan selama setahun, paling penting nostalgia yang tersimpan menyebabkan pengunjung datang hampir dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei,” jelasnya.

Masakan tidak meriah pusat beli belah itu ketika musim perayaan apabila pemilik-pemilik butik di sana menerima lebih 1,000 tempahan baju kurung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Rejuvenisasi ‘PKNS City’

Dalam pada itu, Syahril memaklumkan Kompleks Plaza PKNS bakal melalui proses rejuvenisasi yang melibatkan keseluruhan pusat beli belah serta pusat konvensyen milik PKNS bernilai RM2 bilion.

“Rejuvenisasi itu tidak melibatkan perobohan Plaza PKNS, sebaliknya ia akan mempunyai sambungan dengan bangunan baharu serta laluan ke Tasik Shah Alam. Apa yang ada di kompleks itu akan kekal dan ditambah baik.

“Projek tersebut akan memberikan pengalaman baharu beli belah dalam kalangan peniaga dan pengunjung, namun konsep dan nostalgianya akan dikekalkan kerana cukup signifikan,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Peniaga Kompleks Plaza PKNS, Latifah Jalil ketika ditemui memberitahu, kemeriahan sebenar plaza berkenaan adalah pada Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Pengunjung yang datang kebanyakannya adalah pelanggan setia atau pernah datang sebelum ini. Begitu uniknya Plaza PKNS ia membentuk identiti pengunjung yang mencari kembali asal usul mereka seperti berbaju kurung, bersongkok dan sebagainya.

“Pada tahun ini walaupun menjangkakan ‘sendu’ apabila perayaan serentak dengan musim persekolahan, tetapi bila kerajaan umum bonus dan insentif untuk kakitangan awam, plaza itu tetap meriah,” katanya.

Tambahnya, peniaga tidak menolak pembangunan kerana Kompleks Plaza PKNS sebagai bangunan ikonik perlu penambahbaikan sebagaimana Dataran Merdeka dan Pasar Seni di Kuala Lumpur yang kekal dikunjungi hingga kini.

Bagi seorang lagi peniaga di Restoran D&R, Zaffran Ramlan, 40, sebagaimana usahawan lain, pelbagai ujian yang melanda akan menguatkan lagi keazaman mereka untuk terus berniaga di kompleks tersebut.

“Legasi keluarga ini akan diteruskan, itulah azam saya.

“Nostalgia paling sukar dilupakan adalah bab kemeriahan melibatkan pengunjung setiap hari bukan setakat pada musim jualan Aidilfitri. Saya boleh katakan, kehadiran ramai pelanggan bermula waktu pagi hingga pukul 5 petang,” kongsinya.

Sementara bagi peniaga surat khabar, makanan dan alat tulis, Abu Talha Kasimin, 49, pula memberitahu, dia menyambung legasi perniagaan daripada datuknya, Arif Mahmud, 84, sejak tiga tahun lalu.

“Nostalgia menarik kita di sini apabila artis seperti Ziana Zain dan Syanie singgah ke kedai kami. Tokoh politik seperti Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah singgah bertanya khabar di kedai saya ini,” ujarnya.

Kenangan pengunjung

Bagi peniaga baju Melayu, Rozita Hashim,49, sejak mula berniaga lebih 30 tahun lalu, Plaza PKNS menjadi tempat dia sekeluarga mencari rezeki dengan menjual pakaian tradisional.

“Daripada satu tapak saya membesarkan kedai ini menjadi dua tapak.Antara nostalgia yang tidak dapat dilupakan apabila tokoh seperti Ustaz Datuk Kazim Elias dan Pak Ya (Ilya) Sepahtu yang sudah dua kali datang membeli baju di kedainya,” kongsinya.

Bagi pengunjung pula, Yahya Labai, 44, menganggap Kompleks Plaza PKNS mengimbau kenangan sewaktu dia dan ister mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun lalu.

“Saya orang Sabah, isteri orang Shah Alam, dialah yang selalu ajak saya ke sini dan kami cari baju tunang serta busana pengantin pun di sini. Sekarang ada empat orang anak dan kami cari baju raya pun di sini,” katanya yang kini tinggal di Teluk Panglima Garang.

Bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafizullah Amin Anwar, 40, berkata, plaza tersebut sangat sinonim dengan mereka yang pernah menuntut di Kampus Shah Alam.

“Ada dalam kalangan kami sanggup datang semula ke PKNS kerana tahu di sini ada pelbagai barang dijual,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×