KUANTAN: Stigma masyarakat yang masih memandang negatif terhadap bekas banduan menjadi kebimbangan golongan itu untuk kembali bersama komuniti dan bekerja bagi mengubah kehidupan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Mitashamika Resources, Shafieq Johari, 30, berkata, tempoh sebulan bermula awal Ramadan lalu memberikan pekerjaan kepada empat banduan parol di tapak bazaar Aidilfitri di Dataran Sekilau di sini, memberikan pengalaman cukup berharga buat pengurusan syarikat terbabit.
“Dalam tempoh sebulan empat banduan bekerja dengan kami, mereka cerita apa dilalui dan kebimbangan berhubung persepsi negatif masyarakat.
“Selama sebulan bersama kami, saya setiap hari memerhati dan memantau mereka. Bagi saya mereka cukup baik bekerja dan dalam tempoh terbabit langsung tiada aduan daripada peniaga tentang mereka.
“Bagi saya, mereka lebih mudah faham arahan berbanding pekerja lain dan betul-betul mahu bekerja demi mengubah kehidupan mereka,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Shafieq berkata, persepsi negatif masyarakat yang masih menebal terhadap bekas-bekas banduan harus diubah dalam usaha membantu golongan itu kembali diterima dalam masyarakat.
Menurutnya, lebih menyukarkan bekas banduan adalah stigma pihak syarikat atau majikan yang sepatutnya memberi peluang lebih besar untuk mereka mengubah hidup.
“Ini amat menyedihkan. Tanpa kegiatan ekonomi sukar untuk mereka teruskan hidup dan boleh menyebabkan mereka terjebak semula mengulangi kesilapan lampau.
“Keperluan utama membantu bekas banduan tidak ulangi perbuatan jenayah ialah penerimaan masyarakat.
Jadi, apa dilakukan oleh Mitashamika Resources adalah kita mahu masyarakat tidak terus memandang negatif terhadap bekas banduan. Begitu juga para majikan, beri peluang mereka berubah,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu dalam penganjuran apa jua program selepas ini akan terus memberikan peluang kepada bekas banduan mengubah nasib mereka.
“Kalau bukan kita yang membantu mereka siapa lagi? Kesedaran masyarakat perlu diperluaskan supaya tidak terlalu negatif terhadap bekas banduan. Tanpa sokongan masyarakat sukar untuk mencari model yang berjaya bagi mengubah nasib mereka.
“Hakikatnya mereka juga adalah sebahagian daripada kita. Mereka juga wajar mendapat peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN











