PADANG BESAR: Kerajaan negeri berharap hubungan baik dengan kerajaan Pusat dapat dikekalkan dan diperkembangkan lagi demi manfaat semua pihak.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, usaha bagi mengekalkan hubungan baik itu dapat mengembangkan pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.
Beliau berkata, menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kerajaan negeri juga telah diberi peluang untuk membentangkan senarai projek berimpak tinggi kepada kerajaan Persekutuan.
“Projek berimpak tinggi ini dapat merancakkan ekonomi disamping meningkatkan pendapatan negeri dan kesejahteraan rakyat secara bersama.
“Saya juga bersyukur kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri mempunyai hubungan baik yang perlu dikekalkan,” katanya sewaktu berucap pada majlis berbuka puasa Madani peringkat negeri ini
di Felda Chuping di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Anwar turut berkesempatan menyerahkan sumbangan sebanyak RM505,000 kepada 101 buah masjid di negeri ini yang disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga merasa bertuah kerana Felda Chuping dipilih sebagai lokasi untuk majlis itu pada siri lawatan kerja Perdana Menteri ke negeri ini.
“Untuk makluman, Masjid Nurul Huda Felda Chuping ini juga antara tiga masjid yang merekodkan jumlah kariah tertinggi sepanjang Siri Jelajah Solat Subuh dan Terawih menerusi Program Haiya Ala Sollah anjuran kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN










