Perkenal harga siling beras import, naik harga lantai padi - Utusan Malaysia

Perkenal harga siling beras import, naik harga lantai padi

MAHFUZ Omar (tengah) bersama penerima geran bantuan LPP pada Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mencadangkan supaya harga siling beras import ditetapkan bagi mengelak pengilang-pengilang beras daripada memanipulasi bekalan itu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, agensi itu melalui Majlis Penasihat Peladang (MPP) turut berpendapat agar harga lantai padi mesti dinaikkan lagi bagi mengatasi masalah membabitkan makanan ruji itu.

Ini kerana, ujar beliau, keputusan kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang menurunkan harga jualan runcit beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 di pasaran hanya akan menyelesaikan masalah berkaitan untuk tempoh tiga ke empat bulan.

“Isu yang berlaku adalah disebabkan perlumbaan kilang-kilang untuk beli padi daripada petani, mereka lawan harga daripada harga lantai RM1,300 tan metrik yang akhirnya ada sampai RM1,900 tan metrik.

“Apa yang berlaku mereka tak boleh keluarkan beras putih tempatan (BPT) sebab beli padi pun dah mahal dan nak jual beras dengan harga RM26 sekampit memang tidak setimpal dengan modal. Jadi akhirnya ada orang kata mereka simpan stok dan dijadikan beras import,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jualan Agro Madani Mega Raya LPP di Dataran Jalan Istana Lama di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, cadangan itu telah dimasukkan ke dalam resolusi yang dihantar kepada kerajaan dan kementerian terlibat untuk melihat masalah itu yang merangkumi satu rantaian bermula daripada benih padi kepada beras.

Mengulas lanjut beliau berkata, para petani juga diminta bersedia untuk berhadapan dengan kenaikan harga benih padi apabila mereka mengharapkan peningkatan terhadap harga belian padi.

“Bila harga padi tinggi, harga benih mesti tinggi. Kalau tidak nanti orang tak mahu buat padi benih. Harga benih mesti lebih RM100 atau RM200 daripada harga padi untuk buat beras.

“Jadi ini penyelesaian jangka panjang yang kami minta daripada kerajaan untuk mempertimbang perkara ini secepat mungkin. Misalnya berkaitan benih padi mesti diselesaikan dalam tempoh terdekat sebelum penanaman padi musim seterusnya yang akan bermula lepas raya ni.

“Sementara isu berkaitan harga belian padi yang perlu dinaikkan mesti diselesaikan sebelum kita memasuki musim menuai padi akan datang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×