SHAH ALAM: “Perbuatan kamu dalam kejadian itu dianggap kejam sehingga sanggup mencederakan mangsa,”.
Demikian reaksi Hakim Norazlin Othman di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini ketika menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan terhadap seorang penganggur atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dua beranak, bulan lalu.
Terdahulu, P. Suzendran, 27, yang kelihatan sugul mengaku bersalah dan mengakui semua fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama A. Alagendran yang juga orang kurang (OKU) dan S. Sathiyakumar masing-masing berusia 39 tahun didakwa bersama menyebabkan kecederaan parah terhadap ibu dan anak yang masing-masing berusia 11 dan 37 tahun.
Perbuatan menggunakan sebilah parang itu didakwa dilakukan di rangkaian kedai makanan segera di Kota Kemuning di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 27 Mac lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Norazlin dalam penghakimannya berkata, pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan wajar diringankan hukuman.
“Namun, mahkamah mengambil kira faktor kekerapan berlakunya kes jenayah rompakan di negara ini. Selain itu, perbuatan kamu kejam dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun serta tiga sebatan,” katanya.
Peguam Muhammad Hidhir Mustapa yang mewakili Suzendran sebelum itu memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya telah insaf dan menyesali perbuatannya.
“Selain itu, dia sebagai anak tunggal dalam keluarga telah menghancurkan hati ibunya dan berharap supaya diberikan peluang kedua. Dia seorang anak yang baik namun terpengaruh dengan rakan sehingga terjebak ke dalam jenayah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri bagaimanapun memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Pada prosiding sama, Suzendran turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh mahkamah itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak hasil jualan berjumlah RM115 milik sebuah kedai serbaneka di Seksyen 23 di sini, kira-kira pukul 5.25 pagi, 11 April lalu. – UTUSAN










