PETALING JAYA: Pengundi Melayu berkemungkinan tidak memberi sokongan kepada parti Kerajaan Perpaduan sekiranya calon bertanding itu adalah atas tiket DAP.
Penganalisis politik dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, ini kerana orang Melayu masih tidak boleh menerima sepenuhnya DAP terutama dalam kalangan pengundi luar bandar.
Malah katanya, ia ditambah dengan pengundi Melayu dimomokkan oleh ahli-ahli politik untuk menjauhi daripada mengundi DAP.
“Calon berbangsa Cina atau PKR mungkin boleh diterima oleh Melayu, Cina dan India di kawasan tersebut, namun jika diletakkan atas tiket DAP, kemungkinan besar orang Melayu tidak akan mengundi dan akan beralih ke parti lain.
“Pengundi Melayu masih lagi tidak boleh menerima sepenuhnya kedudukan DAP dalam kerajaan perpaduan dan ini menyebabkan ramai tidak turun mengundi pada pilihan raya lepas ekoran mereka tidak serasi dengan susunan calon-calon yang bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas latar belakang masyarakat yang turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Difahamkan hampir 50 peratus pengundi di kerusi berkenaan terdiri daripada Melayu, Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kedudukan mereka di Kuala Kubu Baharu, tetapi dengan majoriti undi yang rendah.
Katanya, ia memandangkan keputusan beberapa siri pilihan raya lalu menyaksikan laluan sukar yang bakal dihadapi PH mengekalkan majoriti 4,000 kerusi.
“Kebarangkalian Perikatan Nasional (PN) memenangi kawasan itu bergantung kepada calon diletakkan berdasarkan demografi pengundi Melayu yang mengikuti daripada siri pilihan raya lalu.
“Kemungkinan mereka lebih cenderung untuk memihak kepada PN,” katanya. – UTUSAN










