Pengawal peribadi tolak Farah Cie elak terkena tembakan

Pengawal peribadi tolak Farah Cie elak terkena tembakan

Farah Cie nyaris ditembak suaminya jika pengawal peribadi beliau tidak bertindak tangkas menghalang kejadian itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Lihat saja kelibat suspek mengacu pistol, Along terus menerpa ke arah majikan kami sebelum terkena tembakan,” demikian kata salah seorang pengawal peribadi yang terselamat dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kelmarin.

Muhammad Badlishah Azian ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, dia dan rakannya Mohd. Nur Hadith Zaini atau dikenali Along bertugas mengiringi majikan mereka yang juga isteri kepada suspek yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Cerita Muhammad Badlishah, sebelum kejadian tembakan berlaku, majikannya ada memaklumkan kepada mangsa dia melihat kelibat suaminya di kawasan lapangan terbang berkenaan.

“Sebelum lepaskan tembakan suspek melempar mercun ke arah kami bagi menyuraikan orang ramai yang berada di kawasan itu sebelum menjerit ‘ke tepi, ke tepi’ sambil mengacu pistol ke arah kami.

“Jadi, Along sentiasa berada berhampiran majikan kami dan sebaik sahaja tembakan dilepaskan, dia cuba menolak wanita itu tetapi dia sendiri yang terkena tembakan di bahagian perut,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Badlishah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak menyangka suami majikannya boleh bertindak sedemikian.

“Pada mulanya, kami sangka dia datang hanya untuk buat kecoh tetapi apabila dia acu pistol menyebabkan keadaan bertukar kelam kabut.

“Saya sempat baling kerusi ke arah suspek untuk halang dia bertindak lebih teruk tetapi apabila saya lihat semula kelibatnya, dia sudah tiada kerana melarikan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, isteri kepada pengawal peribadi Mohd Nur Hadith Mohd. Nur Hadith ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan suaminya masih belum sedarkan diri selepas terkena tembakan kelmarin.

Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, Mohd. Nur Hadith masih ditidurkan dan dijangka akan menjalani sekali lagi pembedahan esok.

“Peluru itu terkena pada usus suami dan darah masih tidak berhenti. Saya dimaklumkan doktor menunggu darah berhenti dan suami dalam keadaan stabil baru pembedahan dijalankan sekali lagi esok.

“Buat masa ini suami masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd. Nur Hadith cedera di perut selepas suami kepada majikannya melepaskan tembakan.

Sementara itu, majikannya, Farah Md Isa atau Farah Cie menerusi hantaran di laman Facebook berkata, beliau masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan matanya.

“Mohon maaf, mesej bertalu tidak berbalas… sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri.

“Sama-sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala. Amin,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN