Pengawal keselamatan dipandang kerjaya kelas rendah? Azaromi perbetul perspektif dalam filem Leha - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan dipandang kerjaya kelas rendah? Azaromi perbetul perspektif dalam filem Leha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pandangan masyarakat yang menganggap pengawal keselamatan sebagai pekerjaan kelas rendah membuatkan pengarah, Azaromi Ghozali terpanggil untuk memperbetulkan persepsi itu menerusi filem Leha yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 April ini.

Pengarah yang mencipta fenomena menerusi drama Kisah Yang Hilang itu berkata, sebagai warga tempatan, dia tertarik untuk mengangkat taraf pengawal keselamatan ke tahap lebih tinggi agar masyarakat mengetahui bahawa golongan tersebut mempunyai keberanian tersendiri kerana menerima latihan ala tentera.

“Ini adalah antara tarikan utama filem Leha. Orang sering memandang rendah kerjaya pengawal keselamatan, disebabkan itu saya mahu angkat dan pamerkan keberanian serta tanggungjawab mereka dalam filem ini.. 

“Kita perlu sedar bahawa pengorbanan mereka sangat besar dalam menjaga keselamatan awam. Boleh kata filem Leha ini satu penghargaan buat semua pengawal keselamatan dan ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM),” katanya.

Leha mengisahkan tiga pengawal keselamatan sebuah kilang yang menyelamatkan seorang gadis bernama Leha daripada diculik kerana memiliki maklumat dan dokumen mengenai aktiviti pemerdagangan manusia yang dijalankan di kilang tersebut.

Filem berkenaan menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi.

Azaromi dalam pada itu menjelaskan dia memilih aksi komedi sebagai genre filem tersebut untuk menghiburkan penonton dengan lawak jenaka selain mengetengahkan keberanian pengawal-pengawal keselamatan terbabit.

“Saya harap filem ini sesuai ditonton seluruh masyarakat pelbagai peringkat umur. Diharapkan juga ia ditonton seisi keluarga.

“Saya juga mahu menampilkan kelainan berbanding filem aksi komedi yang lain dengan plot twist yang akan memberikan kejutan kepada penonton Leha,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Azaromi mengakui berdepan pelbagai cabaran menghasilkan Leha untuk memastikan penonton memahami komedi yang disampaikan dalam filem terbabit.

“Filem seram atau air mata lebih mudah dihasilkan berbanding cerita komedi kerana bukan senang buat penonton terhibur. Setiap orang ada citarasa tersendiri, sebab itu jangan hairan kalau satu panggung ketawa tiba-tiba seorang daripadanya langsung tidak terhibur.

“Inilah cabaran terbesar untuk mengarahkan sebuah filem komedi seperti Leha,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya