Pendakwaan bantah permohonan semakan Muhyiddin

Pendakwaan bantah permohonan semakan Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan terhadap permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan semula empat pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapat suapan terhadap Presiden Bersatu itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi di sini hari ini.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, bantahan tersebut difailkan pada 1 April lalu. Antara alasan yang dinyatakan dalam bantahan tersebut ialah permohonan semakan yang dimohon oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah remeh dan merupakan salah guna proses mahkamah.

Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Selain itu, Wan Shaharuddin turut memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kesemua kes yang dihadapi Muhyiddin kerana semua dokumen berkaitan telah diserahkan kepada pembelaan.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah oleh peguam bela, Datuk Seri K.Kumaraendran kerana pihaknya perlu meneliti semua dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Seorang lagi peguam bela Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad pula berkata adalah terlalu awal untuk mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kerana masih terdapat satu lagi permohonan untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu yang masih belum diputuskan oleh mahkamah.

“Tambahan pula, terdapat permohonan oleh pihak pendakwaan untuk kes dihadapi anak guamnya iaitu penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dibicarakan bersama,” kata peguam itu.

Azura kemudian menetapkan 8 Mei ini untuk pengurusan kes.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta bagi partinya selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemua­nya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.

Kesemua kesalahan itu di­dakwa dilakukan di Pejabat Per­dana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN