PETALING JAYA: Rakyat mempunyai kepentingan untuk mencari pemimpin yang telus dan jujur serta tidak cuba menutup kelemahan diri terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ciri-ciri pemimpin yang baik harus diterapkan oleh semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik.
“Kita hendaklah menjadi seorang pemimpin yang jujur, amanah dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan terutamanya kepada rakyat.
“Hal ini kerana, jika kita menjadi seorang pemimpin yang jujur, sudah pasti rakyat akan memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada pemimpin untuk memerintah sesebuah organisasi,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pesta Bumi Kita dan Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Selangor 2024, semalam.
Ia susulan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menunjukkan bukti berkaitan kelayakan akademiknya bagi menjawab isu berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook lewat malam Sabtu, pemangku Ketua Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu memuat naik transkrip serta sijil Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang diperoleh dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Tambahnya, diharapkan wakil rakyat yang bertanding dapat bersaing secara sihat tanpa menyentuh isu sensitiviti yang boleh mengundang perkara yang dapat menyinggung mana-mana pihak. – UTUSAN











