HULU SELANGOR: Pembangkang didakwa akan menggunakan ‘alasan’ tiada peruntukan untuk membantu rakyat sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembangkang tidak akan dapat membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya akan memberi pelbagai alasan dan antara alasan tiada peruntukan
Sehubungan itu, menurut beliau, pengundi perlu memilih calon kerajaan iaitu Pang Sock Tao bagi memastikan nasib rakyat di Kuala Kubu Baharu terus terjaga.
“Mereka pembangkang, mereka boleh beri apa? Saya nak beritahu pada pengundi untungnya mempunyai (wakil daripada) kerajaan.
“Jangan pilih pembangkang, bila kita pergi jumpa dia nanti akan kata tiada peruntukan. Memangla pembangkang, siapa nak bagi peruntukan?” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau membuat tinjauan kemajuan Projek Baik Pulih Cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali-Genting, di sini
Terdahulu, media melaporkan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan yang didakwanya menggunakan aset kerajaan untuk berkempen dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Ini selepas penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang diadakan sebelum ini kebetulan pada hari yang sama dengan hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pengundi perlu membina ‘jambatan’ kepada kerajaan negeri melalui wakil rakyat kerajaan di Kuala Kubu Baharu.
“Sudah ada tiga wakil rakyat pembangkang di Hulu Selangor. Oleh itu mari kita bina jambatan kerajaan negeri, kerajaan Pusat melalui wakil rakyat Kuala Kubu Baharu.
“Tidak ada faedah memilih pembangkang ini, satu sen pun tidak ada faedah,” katanya.- UTUSAN










