Pelantikan Pengerusi, Ahli SPR perlu lalui jawatankuasa Parlimen - Bersih

Pelantikan Pengerusi, Ahli SPR perlu lalui jawatankuasa Parlimen – Bersih

SEBAHAGIAN peserta himpunan anjuran Bersih dan beberapa NGO memegang plakad berkaitan DNAA melibatkan ahli politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya agar proses tersebut diteliti secara inklusif dan demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengenepikan agenda reformasi pilihan raya.

Katanya, ia susulan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh akan bersara wajib pada bulan Mei ini menjadikan terdapat dua kekosongan dalam suruhanjaya tersebut iaitu jawatan seorang Pengerusi dan Ahli.

“Bersih mengulangi gesaan kami supaya Perdana Menteri untuk segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR. Bersih ingin menegaskan bahawa reformasi pelantikan ini adalah mustahak, tambahan lagi Pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya. 

“Ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR yang mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula,” katanya.

Bersih turut mengingatkan bahwa manifesto pilihan raya kedua-dua gabungan kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen.

Dalam pada itu, Bersih juga menggesa kerajaan supaya segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) yang kali terakhir dilakukan pada 2003 tanpa sebarang pindaan yang signifikan. 

“Bersih telah melakukan bengkel libat urus yang melibatkan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang memfokuskan agenda reformasi pilihan raya selama lebih dua tahun bermula 2019 hingga 2021. 

“Hasil libat urus ini pihak kami telah mengenal pasti 19 seksyen di dalam AKPR yang perlu dipinda seperti di seksyen berkenaan rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.

“Selain itu, pindaan juga perlu memasukkan peruntukan baharu untuk memodenkan akta ini seiiring keperluan zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen pilihan raya, keperluan mengaudit belanja pilihan raya oleh calon-calon serta memperkasakan kuasa SPR untuk memberi kompaun kepada pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya,” katanya.

Tegas badan pemerhati itu lagi, Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masa yang lama kerana jawatan Pengerusi SPR akan dikosongkan pada bulan hadapan, justeru mekanisme pelantikan yang lebih telus perlu dibuat segera. 

“Selain itu, pindaan kepada AKPR juga perlu dilaksanakan agar perjalanan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih baik sebelum siri-siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan bermula dengan PRN Sabah pada tahun 2025,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN