KUALA TERENGGANU: Sebuah pejabat menempatkan resit kompaun dan saman kenderaan di parkir bertingkat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat Pasar Kedai Payang di sini terbakar, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 17 pegawai dan anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 1.13 petang.
Beliau berkata, kejadian melibatkan sebuah bilik taklimat MBKT yang sudah tidak beroperasi sejak 2022 yang terletak di tingkat empat bangunan parkir bertingkat bersebelahan Pasar Kedai Payang.
Rozizah menjelaskan, pasukan forensik JBPM masih menyiasat punca kebakaran namun siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian disyaki berpunca perbuatan khianat.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati api merebak dengan cepat kerana bilik yang terbakar itu menempatkan kertas-kertas salinan resit dan kompaun saman parkir kenderaan.
“Pihak bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya dalam masa satu jam membabitkan kemusnahan sebanyak 40 peratus.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, mungkin (berpunca) perbuatan khianat tetapi akan disahkan berdasarkan kesan-kesan kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Tambah beliau, ketika kejadian bilik pejabat bahagian tempat letak kenderaan MBKT itu dalam keadaan berkunci dan pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu.
Selain itu, Rozizah berkata, pihaknya juga berdepan kesukaran terpaksa membawa jentera sehingga ke tingkat empat untuk mengawal dan memadam api kebakaran sepenuhnya. – UTUSAN










