Papagomo kemuka representasi gugur tuduhan hasut isu Israel

Papagomo kemuka representasi gugur tuduhan hasut isu Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penulis blog Papagomo mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat.

Perkara itu dimaklumkan peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.

“Representasi itu antaranya untuk menggugurkan pertuduhan,” kata peguam tersebut.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai isi kandungan representasi itu tidak didedahkan. Terdahulu semasa prosiding, peguam itu memaklumkan bahawa reprsentasi tersebut telah diserahkan kepada AGC pada 5 April lalu.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan berkata, setakat ini, tiada keputusan berhubung representasi itu kerana pihaknya baru menerima salinannya pagi ini.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Siti Aminah kemudian menetapkan 23 Mei ini bagi mengetahui status representasi tersebut.

Pada 8 Januari lalu, tertuduh didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengah hari pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.

Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Papagomo kemudian diberikan ikat jamin sebanyak jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN