PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam kerana mengalami ‘small spontaneous pneumothorax’ atau kehadiran udara di dalam paru-paru.
Perkara itu dimaklumkan oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin dalam ruangan Instagram Story beliau hari ini.
Bagaimanapaun menurut bekas Menteri Kesihatan itu, Abdullah berada dalam keadaan yang stabil dan masih berada di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN untuk pemantauan doktor.
“Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan baik namun memerlukan rehat yang secukupnya.
“Saya mewakili seluruh ahli keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau tetapi pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini,” katanya.
Abdullah telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Beliau telah memimpin negara selama enam tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2 April 2009. – UTUSAN











