GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan agensi di bawah kerajaan Pusat untuk menarik pelaburan bagi merancakkan sektor berkaitan reka bentuk litar bersepadu (IC) di negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana rangkaian melibatkan semi-konduktor amat luas dan besar serta mempunyai pelbagai sektor kecil di dalam rangkaian tersebut.
“Jadi kita akan teruskan pelbagai pelaburan untuk melengkapkan ekosistem dan rangkaian bekalan termasuklah melibatkan segmen reka bentuk IC.
“Tambahan pula Pusat sedang mengusahakan Pelan Strategik Semikonduktor Malaysia, dari makluman saya dengar ada rancangan atau untuk khususkan negeri-negeri kepada sektor kecil yang berkenaan.
“Ia supaya kita tidak perlu bersaing dengan negeri-negeri, tetapi lihat sektor ini dalam konteks negara kerana yang perlu bersaing adalah negara dengan negara,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim anjuran Kor Konsulat Kehormat Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Beliau mengulas demikian mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berpandangan bahawa kerajaan Pulau Pinang seharusnya belajar daripada kejayaan Selangor untuk menubuhkan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Pelan Strategik Semikonduktor Malaysia itu dijangka diumumkan pada Mei depan dan pihaknya akan melihat apakah peranan yang akan diberikan oleh kerajaan Pusat kepada Pulau Pinang.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya juga bersedia bertemu dengan Guan Eng untuk bertukar pandangan mengenai cadangan berkaitan taman IC di Pulau Pinang.
“Saya cuma ingin jelaskan sejak maklum balas saya dalam isu ini, saya tegaskan semula kita akui bahawa kita tidak ada satu taman IC yang khusus di Pulau Pinang.
“Namun ini tidak bermakna kita tidak ada syarikat berkaitan IC di negeri ini, memang ada beberapa syarikat di sini,” katanya. – UTUSAN










