MELAKA: Berpakaian sedondon kini bukan lagi terbatas untuk seisi keluarga sahaja, malah keterujaan memilih warna tema sama turut membabitkan haiwan peliharaan.
Tidak hairanlah bagi sebuah keluarga dari Kuala Lumpur, sambutan Aidilfitri tahun ini mereka mengenakan tema warna biru sedondon dengan kucing peliharaan yang diberi nama Oyeng.
Sangat teruja melihat Oyeng memakai pakaian baju melayu, samping dan bertanjak.
Lebih menarik kehadiran haiwan itu dengan pakaian raya mencuri perhatian pengunjung sewaktu Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Villa Sentosa di Kampung Morten yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam semalam.
Siti Zalifa Abdul Aziz, 51, dan suaminya, Mohd. Salleh Zakaria, 52, memberitahu, Oyeng dikenakan pakaian sedondon setiap kali kedatangan Aidilfitri sejak empat tahun lalu.
Katanya, mereka rasa teruja apabila mendapat idea untuk menempah baju Melayu, samping dan tanjak untuk Oyeng ketika haiwan itu berusia dua tahun.
“Idea ini timbul sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maklumlah bila duduk di rumah tak kerja, kami latih Oyeng memakai pelbagai pakaian serta ambil foto dan videonya.
“Bila kami lihat dia rasa sangat selesa dengan apa yang dipakaikan, kami latih dia pakai baju Melayu, samping dan tengkolok hingga ia mencuri perhatian.
“Jadi, kami berpakat menempah baju Melayu, tanjak dan samping pada tahun pertama Oyeng memakai pakaian raya warna peach diikuti hijau, unggu dan tahun ini biru,” katanya di sini semalam.
Siti Zalifa berkata, semua pakaian raya Oyeng ditempah khas serta mencuri perhatian orang ramai yang melihat haiwan peliharaan itu di rumah atau dalam media sosial.
“Sejak hari pertama Aidilfitri, ia ikut ke mana sahaja kami pergi beraya di rumah sanak saudara, sahabat handai dan rakan,” katanya. – UTUSAN











