Ops Naga Barat, tiga bot Vietnam ditahan - Utusan Malaysia

Ops Naga Barat, tiga bot Vietnam ditahan

KEADAAN dua daripada tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan di muara Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga bot nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu membabitkan hasil rampasan bernilai RM4.5 juta, semalam.

Pengarah Maritim negeri, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid@Razali berkata, ketiga-tiga bot nelayan itu ditahan menerusi Ops Naga Barat pada jarak 70.6 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada pukul 3.30 petang.

Menurut beliau, ketika ditahan 18 orang kru dan tekong warganegara Vietnam sedang leka menangkap ikan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Ujanya, nelayan berusia 24 sehingga 61 tahun itu juga didapati tiada permit menangkap ikan di perairan negara ini dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Ketika ditahan kesemua bot nelayan berkenaan berada tidak jauh dari satu sama lain dan sedang leka menangkap ikan sebelum pemeriksaan mendapati mereka telah melanggar peraturan.

“Ketiga-tiga buah bot bersama 18 kru itu kemudian telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang negara.

“Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing memasuki perairan dan tidak teragak-agak menahan mereka yang mengaut kekayaan hasil laut negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Khairulanuar lagi, sepanjang bulan Mac sahaja, Pusat Maritim Negeri Terengganu merekodkan lima kes tangkapan bot nelayan Vietnam membabitkan nilai rampasan RM7.5 juta.

Tambahnya, pihak Maritim negeri akan terus mempergiatkan rondaan serta pemantauan menerusi Ops Naga Barat meskipun pada musim perayaan bagi menjaga kedaulatan perairan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×